Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir All England

Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir All England

Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menempah laluan ke separuh akhir mengulangi pencapaian edisi 2024 selepas mengetepikan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada Kejohanan Badminton All England di Utilita Arena Birmingham, England, hari ini.

Menepati status mereka sebagai pasangan No. 1 Malaysia, Aaron-Wooi Yik, bagaimanapun, dipaksa bekerja keras sebelum berhasil menundukkan Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking No. 6 dunia 21-16, 20-22, 21-14 dalam masa 1 jam 1 minit.

Kemenangan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik kini semakin melebarkan rekod pertemuan ke atas beregu No. 2 negara itu kepada 5-3.

Wooi Yik ketika diminta mengulas mengenai pertemuan dengan Wei Chong-Kai Wun berkata, perlawanan tersebut agak sukar kerana tidak mudah menentang rakan senegara sendiri.

“Mereka bermain dengan sangat baik. Mereka meletakkan kami dalam detik yang sangat genting. Dalam set kedua mereka bangkit, saya rasa ia hampir memberikan kami serangan jantung.

“Jadi dalam set ketiga, kami berjaya mendahului dengan agak jauh, itu sangat bertuah bagi kami untuk mengekalkan jurang tersebut,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas permainan berakhir.

Menurut Wooi Yik, tekanan terletak di bahu dia serta Aaron sebagai beregu pilihan dan keinginan untuk menang perlawanan itu telah mendorong kesilapan dibuat terutama pada set kedua.

Aaron pula memberitahu, semasa set kedua, sewaktu sedang mendahului sekitar 16-11 dan 19-17, mereka telah melakukan kesilapan sehingga membuka laluan kepada Wei Chong-Kai Wun muncul sebagai pemenang set tersebut.

“Perlawanan, hari ini, sangat sukar begitu juga semalam, kami bermain perlawanan terakhir malam tadi dan hari ini kami bermain agak awal.

“Jadi, proses pemulihan tidak mencukupi untuk kami dan itu adalah sesuatu yang saya harap BWF boleh cuba buat pelarasan di sini. Ya, sebab ia sangat memenatkan,” katanya.

Separuh akhir, esok, Aaron-Wooi Yik akan berdepan dengan gandingan No. 11 dunia, Chen Bo Yang-Liu Yi selepas wakil China itu menewaskan Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat dari Indonesia 21-16, 21-10 dalam masa 40 minit.

Aaron-Wooi Yik memiliki kelebihan psikologi berdasarkan rekod pertemuan 3-1 ke atas Bo Yang-Liu Yi.

Kali terakhir kedua-dua beregu bertemu adalah pada Kejohanan Asia, tahun lalu, yang berkesudahan Aaron-Wooi Yik menang straight set 21-19, 21-17 di Ningbo, China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN