PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selaku juara bertahan, mengetuai barisan pemain kebangsaan yang akan beraksi pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China bermula 7-12 April ini.
Selain Aaron-Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Arif Junaidi-Yap Roy King turut berada di dalam senarai yang dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini.
Dalam sektor perseorangan lelaki, Malaysia bakal tampil tanpa kelibat bekas juara Asia, Lee Zii Jia apabila hanya menamakan dua wakil iaitu Leong Jun Hao dan Justin Hoh.
Isu kecergasan yang membelenggu Zii Jia, mungkin mendorong bekas bintang No. 2 dunia itu tidak menyertai Kejohanan Asia, malah, sebaliknya memilih Piala Thomas sebagai fokus buat anak jati Kedah tersebut.
Sementara itu, untuk sektor beregu wanita pula, gandingan No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah mengetuai senarai dengan tiga pasangan muda turut di bawa bersama ke Ningbo iaitu Ong Xin Yee-Carmen Ting, Chong Jie Yu-Vanessa Ng dan Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan.
Pemain No. 36 dunia, K. Letshanaa, Wong Ling Ching dan Goh Jin Wei akan menggalas cabaran untuk acara perseorangan wanita.
Bagi sektor beregu campuran, Malaysia diperkuatkan dengan kehadiran juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien.
Seperti mana yang dimaklumkan oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu Malaysia, Rexy Mainaky, semalam, senarai nama yang dikeluarkan BAM untuk Kejohanan Asia adalah gambaran skuad yang akan beraksi dalam Piala Thomas-Uber di Horsens, Denmark pada 24 April-3 Mei ini.
“Kebanyakan pemain yang main di BAC itu adalah pemain yang akan beraksi di Piala Thomas dan Uber juga.
“BAC merupakan kesempatan kepada pemain seperti Arif dan Roy King membuktikan kemampuan mereka, kalau sampai jadi juara BAC, kemungkinan mereka akan di bawa ke Denmark, tetapi, buat masa ini, Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun dan Sze Fei-Izzuddin adalah tiga pasangan terbaik,” katanya. – UTUSAN










