Aaron-Wooi Yik iringi dua lagi beregu negara ke pusingan kedua

Aaron-Wooi Yik iringi dua lagi beregu negara ke pusingan kedua

Aaron Chia-Soh Wooi Yik . - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai kemaraan dua lagi pasangan negara ke pusingan kedua, selepas mengetepikan lawan masing-masing pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton All England di Utilita Arena Birmingham, England, awal pagi tadi.

Aaron-Wooi Yik memerlukan masa selama 38 minit sebelum membenam gandingan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith 21-17, 21-17 yang menghuni ranking ke-28 dunia.

Kemenangan itu juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik kini semakin melebarkan rekod pertemuan menjadi 3-0 ke atas Zhi Yi-Smith.

Wooi Yik berkata, tidak mudah untuk mengalahkan beregu Amerika Syarikat itu kerana mereka lebih konsisten pada empat mata penting di penghujung set pertama dan kedua.

“Asas permainan mereka juga cukup baik, permainan jaring dan tiga pukulan awal mereka memberi tekanan kepada kami.

“Kami pula tidak terlalu fokus pada bahagian tiga pukulan awal itu, menyebabkan kami agak lambat untuk menanganinya,” kata Wooi Yik ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan tamat.

Kejayaan Aaron-Wooi Yik itu dilakar selepas beregu remaja Malaysia, Kang Khai Xing-Aaron Tai yang berusia 19 tahun melepasi halangan pusingan pertama dengan mengejutkan beregu No. 4 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India.

Aaron ketika diminta mengulas mengenai kejayaan Khai Xing-Aaron berkata, juniornya itu semakin mempamerkan peningkatan prestasi dan ia memang berada dalam jangkaan.

“Saya semasa berumur 19 tahun, belum bermain di All England lagi, jadi, saya rasa ini satu kemajuan yang bagus, tetapi mereka perlu mengorak langkah demi langkah dan kekal rendah diri,” katanya.

Pada pusingan kedua, beregu lelaki No. 1 Malaysia itu akan berdepan rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King yang menewaskan wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vatergaard 21-19, 18-21, 21-18 dalam masa 1 jam 9 minit.

Arif-Roy King yang menghuni ranking No. 18 dunia memiliki rekod baik ke atas Lundgaard-Vatergaard apabila mereka kini mencipta empat kemenangan tanpa kalah ke atas beregu ke-23 dunia tersebut.

Satu lagi beregu negara meneruskan kemaraan adalah gandingan No. 8 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang tidak menghadapi masalah menyingkirkan Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi dari Jepun 21-10, 21-15 dalam masa 31 minit.

Sze Fei-Izzuddin yang merupakan pasangan No. 3 Malaysia akan bertemu wakil Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat pada peringkat 16 terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN