KUALA LUMPUR: Seramai 191,832 individu direkodkan terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan menerima rawatan serta pemulihan di seluruh negara sepanjang tahun 2025.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata, angka terbabit menunjukkan sedikit penurunan kira-kira 0.5 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya iaitu 192, 857 orang namun penyalahgunaan bahan terlarang itu masih membabitkan pelbagai peringkat umur.
“Berdasarkan statistik 2025, tiada kes penagih membabitkan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun direkodkan berbanding tiga kes pada 2024 manakala bagi remaja berusia 13 hingga 18 tahun jumlahnya menurun kepada 1,213 orang berbanding 1,255 pada tahun sebelumnya.
“Bagi kategori belia berusia 19 hingga 39 tahun, seramai 112,632 penagih direkodkan tahun lepas berbanding 116,254 orang pada 2024.
“Manakala jumlah penagih bagi golongan dewasa berusia 40 hingga 59 tahun meningkat kepada 72,590 orang berbanding 70,188 sebelumnya serta warga emas berusia 60 tahun ke atas pula, jumlahnya turut meningkat kepada 5,397 orang berbanding 5,166 orang pada 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata,walaupun terdapat sedikit penurunan pada tahun lepas, situasi terbabit tidak bermakna negara berada pada tahap selesa dan program pencegahan perlu terus diperkasakan secara menyeluruh.
Katanya, didapati masih ramai dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa tidak mengenali jenis dan rupa bentuk dadah secara khusus termasuk dadah sintetik.
“Sebahagian mereka juga tidak mengetahui bahawa cecair rokok elektronik atau vape boleh dicampur dengan dadah sintetik yang berisiko menyebabkan ketagihan dan penggunaan dadah sintetik boleh memberi kesan serius termasuk menyebabkan penggunanya mengalami halusinasi sehingga tidak lagi mengenali ahli keluarga atau orang di sekeliling,” katanya.
Sementara itu, katanya, JABD adalah inisiatif berskala nasional berteraskan komuniti serta dilaksanakan secara berperingkat di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan untuk menyebar luas kesedaran tentang bahaya dadah dan mempromosikan gaya hidup sihat terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
“Program malam ini tampil menerusi dua elemen utama, iaitu Program Pasca Pemulihan (PCCP) bagi menyantuni klien yang tamat Program Rawatan Dalam Komuniti dan kempen Pesanan Antidadah (Pesada) oleh Skuad Antidadah kepada orang awam,” katanya.
Selain itu, Ruslin berkata, bagi memastikan bekas penagih kekal bebas daripada dadah, pihaknya turut melaksanakan program susulan menerusi inisiatif Aftercare, Follow-up and Peer (AFP) Treatment Support.
“AADK juga menggerakkan pelbagai pihak termasuk Skuad Antidadah yang dianggotai oleh sukarelawan di kalangan belia seawal usia 18 tahun, Jawatankuasa Pemulihan Dadah peringkat daerah serta rakan strategik komuniti, bagi memperluaskan usaha pencegahan dadah di seluruh negara,” katanya- UTUSAN










