NEW YORK: Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani berkata, sekurang-kurangnya 1,332 orang awam Iran terbunuh setakat ini dalam konflik dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS), manakala ribuan lagi dilaporkan cedera.
Bercakap kepada wartawan di New York, Iravani mendakwa AS dan Israel sengaja menyasarkan infrastruktur awam, manakala Iran hanya menyerang sasaran ketenteraan, bukan orang awam.
Bagaimanapun, AS dan Israel menegaskan dakwaan itu adalah sebaliknya, dengan kedua-dua negara menuduh Iran turut menyasarkan kawasan awam.
Iravani turut berkata, Iran tidak menyasarkan kepentingan negara jiran, dan sedang menyiasat dakwaan bahawa beberapa serangan mungkin mengenai lokasi bukan ketenteraan.
“Penilaian awal kami menunjukkan sebahagian insiden itu mungkin berpunca daripada pemintasan atau gangguan oleh sistem pertahanan AS, yang mungkin menyebabkan peluru berpandu menyimpang daripada sasaran ketenteraan yang dimaksudkan,” katanya.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump, menuntut ‘penyerahan diri tanpa syarat’ Iran pada Jumaat dan berkata pemimpin tertinggi baharu negara itu mesti ‘boleh diterima’, selepas pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, terbunuh pada hari pertama perang.
Trump turut memberitahu Reuters dalam satu wawancara pada Khamis bahawa beliau mahu mempunyai peranan dalam proses pemilihan pemimpin tertinggi baharu Iran.
Iravani menyifatkan kenyataan Trump, sebagai ‘pelanggaran jelas terhadap prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman sesebuah negara’ seperti yang termaktub dalam Piagam PBB.
“Pemilihan kepimpinan Iran akan berlangsung sepenuhnya mengikut prosedur perlembagaan kami dan hanya berdasarkan kehendak rakyat Iran tanpa sebarang campur tangan luar,” katanya.
Beberapa jam selepas kenyataan Trump itu, presiden Iran mengumumkan beberapa negara yang tidak dinamakan memulakan usaha pengantaraan, antara petunjuk awal wujudnya inisiatif diplomatik untuk menamatkan konflik.
Dalam perkembangan lain, dua pegawai AS memberitahu Reuters penyiasat negara itu percaya kemungkinan besar tentera AS bertanggungjawab terhadap satu serangan ke atas sebuah sekolah perempuan di Iran yang mengorbankan puluhan kanak-kanak pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, siasatan masih belum mencapai kesimpulan muktamad mengenai insiden tersebut.










