KOTA TINGGI: Seorang wanita warga Rohingya yang sarat hamil maut dipercayai dibunuh suaminya sendiri menggunakan batu lesung dalam satu kejadian di Kampung Makam di sini hari ini.
Mangsa yang berusia 34 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa pada pukul 7 pagi di rumah sewa miliknya bersama suami yang juga merupakan warga Rohingya berusia 35 tahun.
Tuan rumah, Atikah Sulaiman, 44, memberitahu, suspek datang ke rumahnya pagi tadi sambil memimpin tangan anak sulung mereka yang berusia 4 tahun.
“Dia datang macam biasa saja, baju bersih, tiada kesan kotoran darah siap minum air kotak bersama anaknya. Dia beritahu nak buat laporan kepada suami saya kerana isterinya ada lelaki lain dan kandungan tersebut bukan anaknya.
“Apabila ditanya dimana isterinya, dia cakap ada dalam bilik dan sudah mati. Kami ingat dia bergurau tetapi apabila suami saya pergi periksa kami dapati isterinya berlumuran darah dan tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.
Tambahnya, suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan pernah mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur.
“Pasangan tersebut sudah menyewa di rumah berkenaan sejak lima tahun lalu dan mereka mempunyai seorang anak perempuan. Tetapi dua bulan lalu mereka ke Kuala Lumpur untuk dapatkan rawatan susulan.
“Lelaki itu sebelum ini kerja potong rambut tetapi sejak pulang sudah tidak bekerja lagi. Sepanjang duduk di sini suaminya tidak pernah membuat hal, isterinya juga baik dan mereka tidak pernah culas bayar sewa rumah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat dihentak dengan objek tumpul yang dipercayai lesung.
“Susulan itu seorang seorang lelaki Rohingya berusia 35 tahun ditahan di sekitar lokasi kejadian pada pukul 7.30 pagi. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN










