Ujian Khai Xing-Aaron beraksi di pentas lebih tinggi

Ujian Khai Xing-Aaron beraksi di pentas lebih tinggi

Aaron Tai-Kang Khai Xing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas juara remaja dunia, Kang Khai Xing-Aaron Tai akan menerima pendedahan yang lebih banyak tahun ini, dengan Kejohanan Badminton All England antara kejuaraan besar yang bakal disertai beregu muda itu.

Ketua jurulatih beregu lelaki, Harry Iman Pierngadi berkata, beliau perlu meletakkan penanda aras buat Khai Xing-Aaron dengan meningkatkan kualiti kejohanan yang disertai bagi melihat kemajuan mereka.

“Untuk All England, mereka layak secara merit, jadi, kita hantar Khai Xing-Aaron untuk bagi pengalaman sebanyak mungkin,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia di sini, semalam.

Menjawab pertanyaan sama ada Khai Xing-Aaron mungkin dipisahkan jika tidak menunjukkan peningkatan, musim ini, Harry berkata, beliau akan terus memantau kemajuan gandingan itu untuk tempoh enam bulan akan datang.

Katanya, selain All England yang bertaraf Super 1,000, Khai Xing-Aaron akan kerap bermain pada kejohanan Super 500 bagi menguji sejauh mana mereka mampu melangkah.

“Kita tengoklah kemajuan mereka dalam enam bulan ke hadapan. Sebab pasangan ini akan saya naikkan ke kejohanan Super 500 dan ke atas. Saya mahu tengok mereka boleh ikut atau tidak.

“Kalau boleh lawan beregu 10 terbaik dunia, maksudnya bukan mesti menang (kalau menang lebih baik), tapi kalau kalah pun biarlah mata itu rapat. Janganlah kalah 21-9, 21-5. Itu tak boleh. Dari situ baru kita tengok kemungkinan untuk dipisahkan atau tidak,” tegasnya.

Pengendali kelahiran Indonesia itu berkata, pada ketika ini, Khai Xing-Aaron masih belum mampu bersaing dengan beregu handalan dunia, tetapi, pendedahan yang bakal diterima merupakan satu proses yang harus mereka harungi.

“Dengan beregu handalan, memang belum setaraf, tapi ini yang kita katakan sebagai proses. Memang perlu buat pemain muda ini pergi kejohanan di mana mereka masih jarang jumpa dengan beregu 10 terbaik dunia, penting untuk pengalaman pemain muda kita,” katanya.

Harry berkata, secara peribadi, pasangan itu memang ada menunjukkan kemajuan, tetapi, Khai Xing masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Dari segi kepantasan dan kuasa (speed power), Khai Xing masih banyak yang perlu diperbaiki. Kalau Aaron Tai, saya rasa sudah bolehlah main di tahap atas, tapi pasangannya ini yang perlu banyak kita latih lagi,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN