PETALING JAYA: Tiada wakil Malaysia yang berjaya menjejakkan kaki ke separuh akhir, selepas kesemua mereka tunduk kepada lawan masing-masing pada peringkat lapan terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Jerman di Mulheim, Jerman, semalam.
Beregu lelaki No. 8 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani akur kepada pasangan No. 11 dunia, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan 21-16, 16-21, 18-21 dalam masa 50 minit.
Kekalahan itu membuka laluan kepada Hsiang Chieh-Chi Lin menyamakan rekod pertemuan mereka menentang Sze Fei-Izzuddin kepada 1-1.
Turut ditimpa nasib serupa adalah beregu campuran No. 11 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang tumpas di tangan pasangan gabungan dua negara, Singapura dan Indonesia, Terry Hee-Gloria Emanuelle Widjaja 17-21, 13-21 dalam masa 35 minit.
Soon Huat-Shevon kini ketinggalan 0-1 di belakang Terry-Gloria yang baru sahaja digandingkan bersama, bulan lalu, dengan Indonesia Masters menjadi kejohanan sulung buat pasangan yang kini menghuni ranking ke-190 dunia.
Satu lagi pemain Malaysia yang beraksi dalam acara perseorangan wanita, Wong Ling Ching gagal mengekalkan rentak konsistennya untuk terus berjuang pada kejohanan berstatus Super 300 itu.
Pemain yang berada di tangga ke-41 dunia tersebut tewas kepada pemain No. 37 dunia, Han Qian Xi dari China 16-21, 13-21 dalam masa 39 minit.1
Terlalu kerap melakukan kesilapan sendiri menjadi punca kekalahan Ling Ching kepada Qian Xi yang sebelum ini belum pernah ditemui anak jati Miri, Sarawak itu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa. – UTUSAN










