PETALING JAYA: Keputusan beregu No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyertai Terbuka Jerman sebagai kejohanan pemanas badan merupakan satu pilihan tepat menjelang All England yang bakal berlangsung di Birmingham, England, minggu depan.
Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan pertama diberi tentangan sengit sebelum beroleh kemenangan straight set ke atas William Kryger Boe-Andreas Sondergaard dari Denmark 21-16, 25-23 dalam masa 40 minit pada pusingan awal, hari ini.
Gandingan No. 1 Malaysia itu sedikit bergelut untuk menumbangkan pasangan pecah ganding tersebut dan penyertaan mereka pada kejohanan berstatus Super 300 itu sekurang-kurangnya mengelak Aaron-Wooi Yik berdepan isu ‘lambat panas’ pada All England nanti.
Ketiadaan data mengenai Boe-Sondergaard, mungkin turut menjadi penyumbang Aaron-Wooi Yik tercari-cari rentak untuk menewaskan beregu Denmark itu, memandangkan mereka belum pernah bertemu di mana-mana kejohanan antarabangsa.
Pada peringkat 16 terbaik, Khamis ini, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan sama ada beregu Taiwan, Chen Cheng Kuan-Ling Bing Wei yang menghuni ranking ke-44 dunia atau pasangan Perancis, Julien Maio-William Villeger yang berada di tangga ke-89 dunia.
Sementara itu, satu lagi wakil negara, gandingan No. 8 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengambil masa 33 minit untuk mengetepikan cabaran wakil Perancis, Mael Cattoen-Lucas Renoir 21-17, 21-19.
Kejayaan tersebut merupakan kemenangan sulung Sze Fei-Izzuddin ke atas Cattoen-Renoir yang menghuni ranking ke-89 dunia.
Sze Fei-Izzuddin yang masih segar dengan kejayaan mereka merangkul gelaran pada Indonesia Masters, bulan lalu, sudah tentu mengharapkan kecemerlangan tersebut dapat diteruskan di Jerman dan juga pada All England nanti.
Di peringkat seterusnya, pilihan ketiga itu akan beraksi menentang sama ada pasangan ke-74 dunia, Donovan Willard Lee-Howin Wong dari Singapura atau rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang berada di ranking No. 33 dunia. – UTUSAN










