SSR 2026 janji persaingan lebih sengit

SSR 2026 janji persaingan lebih sengit

MRSM Balik Pulau juara kategori Premier tahun lalu diundi dalam Kumpulan A untuk edisi 2026-IHSAN PENGANJUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejohanan Super Schools Rugby (SSR) kembali membuka tirai musim 2026 dengan wajah lebih segar dan struktur yang diperkemaskan, sekali gus menjanjikan tahap saingan lebih menarik sepanjang penganjurannya.

Majlis undian rasmi SSR 2026 yang berlangsung menjadi simbolik permulaan musim baharu, dengan matlamat jelas memperkukuh ekosistem pembangunan ragbi akar umbi negara.

Bagi edisi kali ini, dua divisyen diperkenalkan menerusi SSR Premier (Divisyen 1) dan SSR Challenge Trophy (Divisyen 2).

SSR Premier menghimpunkan 16 pasukan terbaik daripada edisi 2025 sebagai pentas elit, manakala SSR Challenge Trophy menampilkan baki pasukan musim lalu serta lima muka baharu iaitu SMS Machang, SMS Johor, SMK King George V, SMS Muzaffar Shah dan St John Institution bagi menyemarakkan lagi persaingan.

Dalam pada itu, Super Academy Rugby (SAR) terus berperanan sebagai platform prestasi tinggi melibatkan sekolah sukan, sekolah projek dan akademi ragbi.

SAR kini menampilkan 16 pasukan termasuk penyertaan baharu SMK Abi, Akademi Ragbi Ipoh, SMK Putrajaya Presint 11 (1) dan Royal Town Warriors, menjadikan saingan lebih kompetitif dan berkualiti.

Majlis undian tersebut turut diserikan kehadiran tokoh-tokoh ragbi tanah air seperti bekas ketua jurulatih kebangsaan Saizul Hafifi, penerima anugerah SSR Hall of Fame 2025 Khairol Azhar, bekas pemain kebangsaan K. Dineswaran, ketua jurulatih juara bertahan SSR MRSM Balik Pulau Izzuwan Sukri serta ketua jurulatih juara bertahan SAR Sekolah Sukan Malaysia Pahang Yusli Ashan.

Turut hadir ialah ketua pegawai operasi Enervive Sports, Muhammad Syafiq Musa dan pengasas bersama SSR merangkap penerima anugerah SSR Hall of Fame 2026, Noor Helmi Nong Hadzmi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Enervive Sports Shahrizin Shaharudin berkata, kejohanan Super Schools Rugby merupakan ekosistem yang memperkukuh asas ragbi akar umbi.

“Super Schools Rugby bukan sekadar kejohanan, tetapi ekosistem yang memperkukuh asas ragbi akar umbi.

“Musim 2026 mencerminkan kematangan struktur, saingan lebih seimbang dan pendedahan lebih meluas bagi pemain, jurulatih dan pasukan,” katanya.

Sebagai rekod, juara kategori Premier musim lalu, MRSM Balik Pulau diundi dalam Kumpulan A bersama Maktab Sultan Abu Bakar, Kolej Yayasan Saad dan SMS Tuanku Syed Putra. Undian itu dijangka membuka laluan pertembungan menarik seawal peringkat kumpulan.

Dengan penyertaan lebih meluas, struktur pertandingan lebih tersusun dan komitmen berterusan penganjur, SSR 2026 dilihat mampu menjadi pemangkin utama pembangunan ragbi peringkat sekolah, sekali gus melahirkan generasi pemain yang lebih bersedia untuk melangkah ke tahap lebih tinggi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN