KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) meletakkan harapan tinggi terhadap dua tonggak utama negara, S. Sivasangari dan Ng Eain Yow untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada September depan.
Presidennya, Gerard Monteiro, menegaskan misi tersebut bukan sekadar memburu kejayaan di pentas Asia, sebaliknya menjadi laluan penting ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Menurut beliau, pemenang emas Sukan Asia bakal meraih tiket automatik ke Olimpik, sekali gus menjadikan cabaran di Jepun sebagai misi wajib menang buat dua pemain berkenaan.
“Sivasangari kini berada di ranking keenam dunia dan kita harap dia mampu menembusi kelompok empat terbaik dalam masa terdekat. Itu sasaran realistik berdasarkan prestasi semasanya.
“Eain Yow pula berada sedikit di luar kelompok 10 terbaik dunia. Dia sedang bekerja keras dan melakukan beberapa perubahan positif dalam permainannya. Kita yakin dia mampu kembali dalam kelompok 10 terbaik tidak lama lagi,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Mengulas persiapan menghadapi temasya empat tahun sekali itu, Gerard memaklumkan SRAM merancang mengadakan kem latihan di luar negara pada Ogos depan bagi memantapkan persediaan fizikal dan taktikal pemain.
Malah, badan induk itu turut mempertimbangkan penambahan barisan kejurulatihan sebagai langkah memperkukuh struktur pasukan menjelang kejohanan berprestij berkenaan.
Pada edisi Sukan Asia 2022 di Hangzhou, skuasy negara cemerlang membawa pulang tiga pingat emas menerusi Eain Yow (perseorangan lelaki), Sivasangari (perseorangan wanita) serta acara berpasukan wanita yang turut dibarisi Rachel Arnold, Aifa Azman dan Aira Azman.
Dengan status juara bertahan dan laluan ke Olimpik kini menjadi pertaruhan, tumpuan pastinya terarah kepada Sivasangari dan Eain Yow untuk sekali lagi mengibarkan Jalur Gemilang di bumi Jepun.-UTUSAN







