KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis atau Diagnosis Related Group (DRG) dijangka mewujudkan mekanisme bayaran rawatan yang lebih telus dan adil apabila Kementerian Kesihatan (KKM) kini berada pada peringkat pengumpulan data bagi membangunkan sistem berasaskan keperluan klinikal itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, DRG merupakan sistem klasifikasi dan penyeragaman kes perubatan yang mengambil kira tiga komponen utama, iaitu diagnosis, prosedur rawatan serta tahap keterukan penyakit, bagi memastikan pengkelasan kes dan bayaran rawatan dilaksanakan secara adil, telus dan berasaskan keperluan klinikal.
Menurut beliau, setakat ini pengumpulan data bagi pelaksanaan DRG berada pada fasa pembangunan algoritma, termasuk penetapan julat rawatan serta kos munasabah bagi setiap kes perubatan di hospital.
“Sebagai contoh, apendiks, bagi pembedahan yang sama dengan tahap keterukan yang setara, kadar bayaran ditetapkan mengikut kumpulan DRG, sekali gus mengelakkan perbezaan caj yang tidak munasabah antara hospital.
“Di peringkat awal, pelaksanaan akan memberi tumpuan kepada pengumpulan data klinikal dan kewangan bagi membangunkan logik atau algoritma DRG, serta menetapkan kos rawatan yang munasabah.
“Pada masa ini, pelaksanaan DRG berada pada fasa pengumpulan data minimum bagi membangunkan algoritma sistem DRG, serta latihan dan pengupayaan hospital swasta, bagi memastikan kesediaan daripada segi teknikal dan operasi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta menteri kesihatan menyatakan status terkini pelaksanaan DRG dalam industri kesihatan swasta.
Tambah Dzulkefly, penggunaan DRG di sektor kesihatan swasta adalah sebahagian daripada inisiatif rentas agensi yang dilaksanakan melalui pendekatan seluruh negara.
Beliau berkata, inisiatif itu digariskan di bawah strategi RESET, yang dipantau oleh Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS).
Katanya, sehingga kini, 80 hospital daripada 104 hospital yang sudah mendaftar untuk latihan melalui 23 sesi yang sekali gus menunjukkan tahap penerimaan dan komitmen yang baik daripada hospital swasta terhadap pelaksanaan DRG.
“Penekanan diberikan kepada penyeragaman data klinikal dan kewangan sebagai asas kepada pelaksanaan DRG yang berkesan dan mampan.
“DRG dijangka menjadi pemangkin kepada peralihan sistem penjagaan kesihatan ke arah penjagaan kesihatan berasaskan nilai selain menggalakkan kecekapan, ketelusan kos, dan penggunaan sumber yang lebih berhemah supaya hospital swasta tidak membuat tuntutan secara melampau,” katanya.
Beliau berkata, KKM memandang serius terhadap isu campur tangan pengendali insurans/takaful dan Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) dalam pengurusan rawatan, yang berpotensi mempengaruhi keputusan klinikal pengamal perubatan.
Katanya, bagi menangani perkara ini secara adil, KKM menegaskan sebarang tindakan yang boleh menggugat kebebasan pengamal perubatan melaksanakan tanggungjawab mereka merawat pesakit boleh ditafsirkan sebagai tidak konsisten dengan peruntukan undang-undang sedia ada dalam Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586). – UTUSAN










