KOTA BHARU: Sikap ambil mudah keupayaan Kelantan Red Warriors FC (KRW) yang bermain di pentas liga amatur dilihat menjadi punca Penang FC kempunan untuk mencetak sebarang jaringan pada perlawanan suku akhir pertama Piala Cabaran di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Ketua Jurulatihnya, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, selepas 15 minit baru skuad Harimau Kumbang mahu bangkit dan kembali kepada fokus yang sepatutnya, serta hanya mampu mengawal perlawanan pada separuh masa kedua.
Beliau mengakui kecewa apabila pasukan kendaliannya gagal menggunakan kelebihan fizikal dan pengalaman di atas padang bagi memanfaatkan peluang-peluang tercipta terutama daripada situasi bola mati.
“Atas kertas memang Penang menjadi pasukan pilihan tetapi dalam padang lain ceritanya. Kadangkala pasukan yang bersaing di liga amatur akan ada ‘extra-effort’ untuk membuktikan mereka setanding dengan pasukan dari Liga Super.
“Saya akui kita sepatutnya mengambil kesempatan untuk mendapatkan gol. Paling penting jaringan pertama yang saya yakin akan dituruti jaringan kedua atau ketiga. Namun gol pertama pun kita gagal dapatkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan, di sini malam tadi.
Beliau berharap situasi itu menjadi pengajaran berguna buat barisan pemainnya untuk berdepan cabaran bermain pada sebelah petang dan berdepan lawan sama pada perlawanan timbal balas di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 14 Februari nanti.
Katanya, pemain-pemain Penang sepatutnya sedar bahawa tidak kira siapa juga lawan yang dihadapi, mereka perlu memberikan fokus paling jitu bagi memastikan pasukan tidak kecewa dalam setiap perlawanan.
“Kita masih ada baki 90 minit perlawanan di Stadium Bandaraya dan kedua-dua pasukan masih ada peluang untuk mara. Pemain-pemain perlu bijak mengawal keadaan dan menangai segala situasi, terutama dalam keadaan tertekan.
“Cabaran utama nanti adalah bermain pada sebelah petang dan di bawah panas terik. Namun ia tidak boleh dijadikan alasan kerana sebagai pemain profesional mereka perlu hadapi semuanya dan saya harap mereka bersedia dari segi fizikal dan mental,” katanya.-UTUSAN










