Sesko muncul wira, Carrick terus sempurna bersama United

Sesko muncul wira, Carrick terus sempurna bersama United

Penyerang Slovenia Manchester United, Benjamin Sesko meraikan jaringan ketiga pasukannya pada penghujung perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Fulham di Stadium Old Trafford, Manchester, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Jaringan lewat masa kecederaan oleh Benjamin Sesko menghadiahkan kemenangan dramatik 3-2 buat Manchester United ke atas Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, tengah malam tadi.

Pengurus interim United, Michael Carrick meneruskan permulaan sempurna apabila merakamkan kemenangan ketiga berturut-turut sejak dilantik mengendalikan pasukan sehingga hujung musim.

United mendahului perlawanan menerusi tandukan Casemiro pada babak pertama sebelum Matheus Cunha menggandakan kelebihan tuan rumah selepas rehat.

Fulham bangkit di penghujung perlawanan apabila Raul Jimenez menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-85 sebelum Kevin meledak gol penyamaan cantik pada masa kecederaan.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir seri, Sesko yang sebelum ini sering dikritik tampil tenang menyempurnakan hantaran Bruno Fernandes untuk gol kemenangan United.

Keputusan itu menyaksikan United melonjak ke tangga keempat liga dan terus mengukuhkan misi mereka memburu slot Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Kebangkitan prestasi pasukan turut menguatkan spekulasi pengurusan kelab untuk mengekalkan Carrick secara tetap sekiranya momentum cemerlang itu berterusan.

Bagaimanapun, kejayaan di atas padang sedikit tercalar dengan protes penyokong terhadap pemilik kelab sebelum sepak mula, mencerminkan ketegangan yang masih membelenggu gergasi England itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN