PETALING JAYA: Seruan memboikot pembayaran zakat merupakan tindakan berbahaya kerana bercanggah dengan tuntutan agama serta boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam terhadap kewajipan berzakat.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz FadzilAhmad Fauwaz Fadzil berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja menyentuh kewajipan agama, malah memberi implikasi besar dari sudut hukum syarak dan kesejahteraan umat Islam.
“Tular di media sosial penulisan yang mengajak umat Islam agar tidak membayar zakat kepada pusat zakat sebagai tanda protes terhadap isu-isu tertentu yang dibangkitkan.
“Fenomena ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat kerana ia bukan sahaja melibatkan luahan ketidakpuasan hati terhadap institusi malah menyentuh secara langsung kewajipan agama,” katanya menerusi Tinta Mufti hari ini.
Menurut Ahmad Fauwaz, seruan memboikot pembayaran zakat boleh menjejaskan sistem pengurusan zakat yang telah diinstitusikan bagi memastikan agihan yang tersusun dan adil.
Katanya, ia juga akan memberi kesan langsung kepada golongan asnaf yang bergantung kepada bantuan zakat untuk kelangsungan hidup.
“Tindakan sedemikian lebih membimbangkan kerana berpotensi menggugat keharmonian dan keamanan masyarakat serta kestabilan negara, selain jelas bercanggah dengan maqasid syariah.
“Zakat memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi golongan asnaf kerana ia menjadi sumber bantuan kewangan berterusan bagi memenuhi keperluan asas dan meningkatkan taraf hidup mereka.
“Melalui agihan zakat yang terancang, golongan asnaf bukan sahaja menerima bantuan sara hidup malah turut dibantu dari segi pendidikan, perubatan dan modal keusahawanan yang membolehkan mereka keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.
Tambah beliau, institusi dan agensi agama di Malaysia termasuk institusi yang menguruskan kutipan dan agihan zakat beroperasi di bawah naungan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam di setiap negeri, selain diperkukuh dengan peranan Majlis Agama Islam Negeri dan para mufti.
Katanya, struktur pengurusan hal ehwal Islam yang tersusun dan berautoriti amat penting bagi memastikan pelaksanaan ajaran Islam selari dengan hukum syarak serta memelihara kesucian agama dan keharmonian masyarakat.
“Sungguh pun terdapat ruang penambahbaikan dan islah yang boleh dikemukakan kepada pihak pemerintah, ia perlu dilakukan melalui saluran yang betul, berhemah dan berlandaskan prinsip Islam.
“Pendekatan mengajak kepada kebaikan adalah lebih utama berbanding tindakan protes yang boleh membawa kepada kemudaratan terhadap masyarakat Islam, selain berpotensi menimbulkan kekeliruan umat dan menjejaskan kebajikan golongan asnaf,” katanya. – UTUSAN










