RIYADH: Bintang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo akhirnya memecah kesunyian mengenai masa depannya di Arab Saudi selepas meledak dua gol membantu Al-Nassr membelasah Al-Hazem 4-0 dalam aksi Liga Pro Saudi, kelmarin.
Penyerang berusia 41 tahun yang menerima gaji sekitar 488,000 pound (RM2.5 juta) sehari itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila memboikot tiga perlawanan susulan rasa tidak puas hati terhadap sokongan perpindahan pemain yang dianggap tidak setara berbanding pencabar utama.
Situasi menjadi lebih panas apabila Karim Benzema dibenarkan menyertai Al-Hilal, sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang komitmen Ronaldo terhadap kelabnya.
“Saya sangat gembira dan seperti yang saya katakan berkali-kali, saya milik Arab Saudi kerana negara ini menerima saya, keluarga dan rakan-rakan dengan sangat baik.
“Saya mahu terus kekal di sini dan yang paling penting kami perlu terus memberi tekanan di puncak liga kerana tugas kami adalah untuk menang dan kami kini berada di landasan yang tepat,” kata Ronaldo.
Pihak Liga Pro Saudi sebelum ini mengeluarkan kenyataan menegaskan bahawa tiada individu lebih besar daripada struktur liga dan setiap kelab beroperasi secara bebas di bawah kerangka kewangan yang sama.
Sejak ketibaan Ronaldo pada musim 2022-23, Al-Hilal dilaporkan memiliki perbelanjaan bersih jauh lebih tinggi walaupun kedua-dua kelab, termasuk Al-Ittihad dan Al-Ahli, dimiliki majoriti oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF).
Kini dengan lilitan kapten kembali ke lengannya dan sokongan padu penyokong, Ronaldo bertekad memburu kejuaraan liga pertamanya bersama Al-Nassr yang mendahului carta dengan kelebihan satu mata musim ini. – AGENSI










