PETALING JAYA: Kuching City memastikan sebelah kaki mereka ke separuh akhir Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Brunei DPMM FC dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, sebentar tadi.
Kejayaan di gelanggang lawan itu memberikan kelebihan dua gol buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak menjelang perlawanan timbal balik di Kuching, minggu hadapan, sekali gus mencerahkan peluang pasukan dari Borneo itu untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan berprestij berkenaan.
Sementara, kekalahan tersebut menyaksikan Brunei DPMM berdepan tugas getir apabila perlu memburu kemenangan besar di tempat lawan jika mahu menghidupkan kembali peluang ke separuh akhir.
Pada aksi itu, pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-38 apabila Jerome Etame mempamerkan ketenangan mengatasi kawalan pertahanan tuan rumah sebelum menyudahkan peluang ke gawang, sekali gus memastikan Kuching City mendahului 1-0 hingga tamat babak pertama.
Tuan rumah bagaimanapun bangkit sejurus separuh masa kedua bermula apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan Kuching City, James Okwuosa, yang tersilap langkah ketika cuba menyekat hantaran lintang Miguel Oliveira pada minit ke-48.
Kuching City bagaimanapun kembali di depan apabila kembali berada di hadapan hasil kesilapan penjaga gol Brunei DPMM, Muhammad Haimie Nyaring, yang tertampan bola sepakan sudut ke gawang sendiri pada minit ke-64.
Pelawat terus menggandakan kelebihan jaringan pada minit ke-82 menerusi rembatan leret Ramadhan Saifullah yang gagal ditepis penjaga gol tuan rumah, sekali gus memastikan Kuching City membawa pulang bekalan selesa menjelang aksi penentuan di laman sendiri pada 14 Februari ini.-UTUSAN










