KURANG 100 hari menjelang sepak mula Piala Dunia FIFA 2026, persoalan paling hangat dalam kalangan peminat bola sepak tanah air bukan lagi siapa bakal juara, sebaliknya di mana mereka boleh menonton siaran langsung kejohanan berprestij itu.
Sehingga kini, masih tiada mana-mana stesen televisyen tempatan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka memiliki hak penyiaran edisi kali ini, sekali gus menimbulkan tanda tanya besar.
Ketiadaan pengumuman itu lebih terasa apabila negara jiran seperti Indonesia dan Singapura sudah mengumumkan penyiar rasmi masing-masing.
Di Malaysia, suasana masih samar, mencetuskan persoalan sama ada ia sekadar menunggu masa sebelum pengumuman dibuat atau negara berdepan kemungkinan luar biasa iaitu tiada siaran langsung Piala Dunia buat pertama kali sejak 1982.
Kebimbangan itu bukan tanpa asas kerana sepanjang sejarah, rakyat Malaysia hampir tidak pernah terlepas menyaksikan aksi Piala Dunia secara langsung walaupun liputannya terhad.
Edisi 2026 dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai depan, buat pertama kali dianjurkan bersama tiga negara iaitu Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Ia juga menjadi edisi pertama menampilkan 48 pasukan dengan 104 perlawanan di 16 bandar, menjadikannya Piala Dunia terbesar dalam sejarah.
Skala yang semakin besar itu pastinya meningkatkan kos hak penyiaran dan menimbulkan persoalan sama ada faktor kewangan menjadi penghalang kepada stesen tempatan untuk tampil sebagai penyiar rasmi.

Jika benar tiada siaran diumumkan, ia bakal menjadi detik hitam dalam sejarah penyiaran sukan negara.
Mengimbas sejarah 1982 ketika kejohanan berlangsung di Sepanyol, detik itu cukup menyentuh hati rakyat Malaysia.
Ketika itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berdepan kekangan kewangan dan pada awalnya hanya merancang menyiarkan empat perlawanan secara langsung pembukaan, dua separuh akhir dan final manakala aksi lain sekadar laporan keputusan.
Kos satu siaran langsung ketika itu mencecah sekitar RM60,000, jumlah besar pada era berkenaan.
Segalanya berubah apabila seorang ejen insurans, Peter Teo, mencadangkan agar rakyat Malaysia menyumbang RM1 setiap seorang bagi membolehkan lebih banyak perlawanan disiarkan.
Hasilnya tertubuhlah tabung khas dikenali sebagai ‘People’s Live Telecast Fund (PLTF)’ dengan persetujuan RTM bagi mengumpul dana siaran tambahan.
Sambutan luar biasa menyaksikan kira-kira RM300,000 berjaya dikutip, sekali gus membolehkan beberapa aksi penting disiarkan secara langsung dengan paparan ‘Ditaja Oleh Rakyat Malaysia’ di kaca televisyen.
Kini, dalam era digital dan penstriman, isu sebenar bukan sekadar mahal atau murah, tetapi kesediaan memastikan jutaan peminat bola sepak tanah air tidak terpinggir daripada menyaksikan secara sah pesta global yang menyatukan rakyat itu.-UTUSAN










