Perasaan jemu telah lama bersarang. Hasrat untuk menyimpan sahaja becanya di bawah rumah dirancang sejak kebelakangan ini. Namun setelah melihat biji mata isteri dengan lima anaknya, rancangan itu tersekat.
Dia masih ingat benar, ayahnya seorang pengayuh beca. Dalam ingatannya, dulu pengayuh beca pendapatannya kadang-kadang lebih banyak daripada seorang kakitangan rendah pejabat. Kalau meminang anak gadis, tiada menolak.
“Kalau macam ini, susah kita. Hendak lepas beras secupak pun susah.” Masih terngiang di cuping telinga Man Losong ketika dia dan pengayuh beca lain berkumpul di depan pasar basah bandar Desir Pantai.
Bukan tengah hari itu sahaja mereka meluahkan rasa kecewa. Ali Lipas sudah berbuih mulut merungut. Rusli Mualaf sudah hampir putus asa.
Seingat Man Losong, hanya Wan Ali dengan Zaman, dua anak muda yang di hujung usia 20-an sahaja yang tidak pernah merungut. Peliknya mereka jarang mahu berkumpul macam pengayuh yang sudah berusia. Setiap kali diajak, ada sahaja alasan mereka.
Man Losong tidak peduli sangat dengan Rusli Mualaf yang berdengkur keletihan di tempat duduk penumpang. Pantang rehat, dia ambil peluang tidur. Ketibaan Mael Botak pun Man Losong buat tidak peduli. Dia telah diberi kepercayaan untuk jadi wakil pengayuh beca di bandar Desir Pantai. Lantikan itu bukan rasmi. Sekadar setuju antara mereka sahaja.
“Moleknya budak-budak muda yang pegang jawatan ini.” Hati Man pernah berdetik begitu. Dia tidak ambil kisah sangat tentang jawatan.
“Peliknya, nelayan, penoreh, tanam padi dapat bantuan. Macam-macam bantuan dapat.” Man Losong merenung membelah panas matahari.
Dia sedar rungutan itu hanya untuknya sendiri dan tersimpan dalam hatinya.
“Sabar, kita kena ikut zaman,” Wan Ali yang suarakan kata-kata itu. Man tertanya-tanya zaman yang macam mana lagi mereka perlu sabar.
Punggung sudah kematu. Keadaan tetap sama.
“Barangkali orang pilih orang muda, geng tua sudah tidak mampu.” Itu hanya detik hati kecilnya. Wan Ali dengan Zaman macam tidak peduli sangat keluhan mereka. Mereka seperti biasa sahaja.
“Apa lagi yang hendak buat?” Itu yang mereka seolah sepakat dengan rungutan itu. Lima wakil mereka telah berkorban wang ringgit ke ibu kota bertemu pihak berkaitan.
“Kadang-kadang terasa kita dibudak-budakkan.” Ini bukan keluhan Man Losong seorang. Mael Botak yang ikut serta bertemu dengan pegawai atasan di ibu kota pun kata benda yang sama. Pegawai-pegawai yang ditemui itu bukan semua berasal dari bandar. Mustahil tak tahu perit jereh pengayuh beca.
“Ada ke rezeki hari ini?” Man Losong bertanya kepada Rusli yang menyapu muka dengan tuala kecil yang diletakkan di tengkuknya.
“Teruk, baru dapat dua orang,”Rusli berusia 60-an itu tersengih.
“Gula dua kilo bolehlah,” Man Losong pula tersenyum. Kalimah itu biasa didengar.
Sebenarnya dia tidak terfikir untuk melakukan kerja pengayuh beca ini. Tidak terfikir menurut jejak langkah ayah. Walaupun bila berkumpul adik beradik, ayah bercerita tentang keseronokan jadi pengayuh beca.
“Tambang lima puluh sen ke seringgit ke, biasa, tapi budaya orang kita, ada sahaja hulur untuk minum air.” Kata ayah dengan bangga.
“Orang muda tak nak jadi pengayuh beca,” kata ayah lagi dengan nada kesal.
“Kita boleh kenal ramai orang. Macam-macam orang dari negara atas bawah angin yang datang sini,” kata ayah.
“Budaya kita,cara hidup orang kata,beca bukan hilang bila negara semakin maju.” Anak-anak kagum dengan buah fikir ayah biarpun ayah setakat Darjah Enam, cara fikir ayah cukup bernas.
Keputusan Man Losong menyambung tugas sebagai pengayuh beca daripada ayahnya datang daripada hati kecilnya. Peristiwa itu berlaku beberapa bulan sebelum ayah meninggal dunia.
Selesai solat Zuhur mereka sepakat berkumpul di bawah pohon ketapang tempat sering berkumpul. Bertanya khabar dan meluahkan perasaan. Masing-masing duduk di tempat duduk penumpang dalam bentuk bulatan.
Wan Ali mencadangkan supaya semua pengayuh beca ada handphone. Ada WhatsApp sendiri dengan alasan senang dihubungi. Kata Wan Ali yang disokong oleh Zaman. “Kita tidak ada alasan tak tahu guna teknologi baru. Anak menantu boleh bantu boleh tolong tunjukkan”.
“Kita tak boleh harap kutip penumpang tepi jalan. Biar penumpang cari kita,” kata Wan Ali dengan idea baru.
Zaman yang hampir sebaya dengan Wan Ali awal-awal lagi menyokong. Mereka berdua dalam lingkungan hujung 20-an. Perbincangan petang itu tiba tiba menjadi rancak. Pelbagai isu dibangkitkan.
Wan Ali dengan Zaman menjadi sasaran mereka. Kata Man Losong, mereka berdua macam malaikat turun dari langit. Wan Ali yang memegang ijazah pelancongan tenang dan yakin, apa yang golongan tua ini risau hanya sementara. Langit berlantaikan Laut China Selatan mula kelihatan tompok awan, angin barat mesra menampar pipi mereka yang sedang mengadakan perjumpaan luar biasa itu.
“Bandar ini akan menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri. Mereka lebih senang menggunakan beca kita.” Kata Wan Ali sebelum mereka berpisah. Man Losong senyum, Rusli Mualaf pun senyum, Mael Botak sama macam Ali Lipas, jelas seperti disiram air dalam kehangatan cuaca.
Man Losong berlegar di jalan menuju ke pantai. Cuaca elok. Hari masih awal untuk pulang. Sepagi tadi dia menerima upah cukup untuk sekilo gula. Man tersenyum lebar bila seorang wanita separuh abad melambai tangan ke arahnya.
“Ke mana?”
“Cabang Tiga”
“Pasar ke?” Man ingin kepastian bila melihat gaya dan bekas-bekas jualan di pasar besar. Dia tak pasti tapi ingat-ingat lupa wajah wanita yang kini melabuhkan punggungnya. Jarak perjalanan yang akan dilaluinya nanti hampir empat kilometer. Lebih jauh lagi banyak yang dibayar.
“Prebet sapu, takut nak keluar.” Wanita yang bahasakan dirinya Kak Yah merungut. Man senyum. Kadang-kadang rasa bersyukur dalam dirinya dengan keluhan penumpangnya ini. Man dapat bayangkan sejak kehadiran kereta yang mengambil penumpang secara senyap-senyap inilah yang menjadi persaingan mereka.
“Lama sudah naik kereta prebet sapu?” Man memanjangkan cerita.
“Sudah lama juga, dulu Kak Yah pajak beca ayahmu pergi balik,” Man tersentak. Dia bukan ambil peduli sangat bila ayah bercerita tentang penumpang becanya. Sekali dua dia terdengar kata ayah, ada yang naik becanya bayar bulan.
“Kak Yah kasihan tengok ayahmu. Kayuh bukan dekat. Bila ada prebet sapu, tak naik dah beca dia, masa dia meninggal, kak Yah pergi ziarah,” Man Losong pasti, hubungan mereka sangat rapat. Jasa ayahnya banyak membantu penduduk yang perlukan khidmatnya.
“Mu anak dia ?” Kak Yah yang becok itu mendongakkan mukanya ke arah Man.
“Susah sangat mu sambung macam ayahmu dulu.” Man Losong tersenyum. Jauh di lubuk hatinya dia menghitung. Tawaran Kak Yah pintu rezeki yang terbuka. Kalau ada beberapa orang lagi yang menempah becanya, dia tidak perlu bersusah payah. Pendapatan bulanannya cukup untuk menampung belanja dapurnya sebulan.
“Mek Yam, Kak Nah aku ingat nak pakai beca, senang, nanti aku beritahu.” Man senyum lebar. Dia semakin bertenaga. Dia yakin, kawan-kawannya menerima berita gembira seperti apa yang yang bermain dalam kepalanya.
“Mu berhenti depan tu,” Kak Yah menjuih bibirnya ke arah rumah kayu beratap genting yang agak mewah. Man tersenyum. Dia membantu kak yah menurunkan bekas berisi makanan jualan.
“Esok pagi, pukul 7.30 aku tunggu mu. Jangan lupa macam prebet sapu pula,”Kak Yah mengingatkan Man. Dia pasti Kak Yah ada pengalaman pahit dengan prebet sapu.
Ketika Man sampai ke rumahnya. Langit mula gelap. Awan pekat berarak perlahan. Angin dari Laut China Selatan terasa semakin garang.
Daun kelapa yang memenuhi sekitar Kampung Losong bagaikan menari mengikut rentak kencang. Man hanya solat Maghrib bersama isteri di rumah. Hujan mencurah. Selepas makan malam, dia menolak daun tingkap perlahan-lahan. Becanya kaku kesejukan.
“Lebat hujan malam ini,” suara daripada Melah, isterinya yang turut sama menjenguk keluar.
“Minta jangan melarat sudah ah.”Balas Man.
“Angin ribut pun dok mudah tu.” Celah Melah lagi.
“Dulu ribut macam ini juga, habis berterbangan harta benda orang kampung.” Sambung Melah lagi apabila Man senyap sahaja. Man yakin cahaya baru akan muncul dalam kalangan pengayuh beca. Dia akan sambut cabaran anak muda yang melupakan kelulusan demi meneruskan warisan kota Desir Pantai.
Esok selepas menghantar Kak Yah ke tempat jualannya, dia bercadang untuk ke kedai aksesori kereta dan motor. Dengan simpanan yang ada, dia akan belanjakan untuk menghias becanya. Biar dia yang mulakannya dengan hasrat memanjangkan usia beca di bumi bertuah ini.
Sebelum masuk ke bilik tidur, Man menggunakan lampu suluh ke arah becanya. Man tersenyum melihat becanya menahan kesejukan.
“Mulai esok, rezeki kita akan bertambah,” sebelum merebahkan badannya.
“Dari mana bang?” Tanya Melah. Hanya dengkur menyahut pertanyaan itu. Melah yang cemas. Tidak dapat melelapkan mata. Teringatkan kisah bot penambang Jusoh di hujung kampung terburai disepak angin. Angin di luar terus mengganas. Hujan belum ada tanda-tanda berhenti.
Di luar angin pagi yang mesra diselimuti kedinginan sisa hujan semalaman. Pohon kelapa dengan pokok mempelam masih kaku menahan kesejukan. Selepas meneguk kopi, Man segera ke arah pintu besar. Melah senyum mengiringi langkah pagi suaminya. Dia menoleh kiri dan kanan dengan rasa sedikit perubahan.
Dadanya berdenyut kencang. Beberapa kali dia memandang ke arah timbunan pokok yang tumbang dilanda angin kuat malam tadi. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Dia pasti, bahkan di situlah dia melabuhkan becanya setiap hari. Bahkan di situ juga arwah ayahnya melabuhkan beca yang sama di situ.
“Melahhhh”” suaranya membelah kesunyian pagi.
“Habislah kita.” Suara Man Losong semakin tinggi. Melah melangkah anak tangga dengan tergesa-gesa. Matanya memandang ke arah timbunan ranting dan dahan pokok mempelam yang rebah menyembah bumi. Dada Melah mula berdebar-debar.
Mulut Man merungut namun tidak jelas. Kedua-dua tangannya menyelak dahan dan ranting dengan dada berombak. “Nasib kita Melahhh”
“Tengok dulu,” Melah teringat dengan janji suaminya dengan Kak Yah. Tentunya Kak Yah sudah siap menunggu kedatangan suaminya.
“Beca kita hilanggg.” Suara Man tinggi. Jantung Melah berdegup-degup. Seingat dia, di kampungnya belum pernah beca hilang dilarikan pencuri.
“Kita lapor polis,” cadang Melah. Mereka berdua melangkah lemah. Kak Yah yang dihubungi Melah sekejap tadi bersusah payah meminta menantunya memungah barang jualannya ke tempat biasa. Kak Yah yang sebarkan berita hangat itu. Semasa Man bersiap untuk ke balai polis, beberapa beca telah berkumpul di depan rumah.
Tiba-tiba Man mematikan langkah. Melah terkebil-kebil matanya. Beberapa pengayuh beca turut sama memandang ke arah jalan kecil itu.
Man pasti seorang lelaki sedang mendorong sebuah beca. Semua memerhati ke arah beca itu. Man memandang dengan tanda tanya.
Semakin dekat, jelas penutup tempat duduk penumpang patah dan hanya ditutupi kanvas. Dada Man berdebar-debar. Begitu juga dengan
Melah dan beberapa pengayuh beca yang bertukar pandang antara beca dan muka Man Losong yang kebingungan.
Salam yang keluar daripada mulut Dolah Pendek hampir serentak dijawab oleh semua di situ. Man dengan Melah merenung lama ke arah beca yang masih di sisi Dolah Pendek. Macam-macam bersarang dalam kepala Man dan rakan-rakannya. Kehadiran Wan Ali hampir tidak disedari Man.
“Aku baru balik dari bandar masa hujan lebat tu,” Dolah Pendek memandang Man.
“Angin ribut macam hendak kiamat.” Dia menghela nafas seketika sambil menoleh ke arah isterinya yang masih tercegat di sisinya.
“Air dah melimpah, hujan kuat, ranting pokok jatuh atap atap beca mu.” Dia berhenti seketika sambal menghela nafas. Dengan tenaga muda yang ada, dia kerah sekuat mampu menarik beca itu. Kanvas yang menutup ruang penumpang sudah hampir roboh. Dia tidak sanggup melaung nama Man Losong. Dolah yakin beca Man selamat di halaman rumahnya.
Man menoleh ke arah isterinya yang membisu, kemudian beralih ke arah beberapa rakan pengayuh beca yang berkerumun di sisinya.
Tengah hari itu selepas menghantar becanya ke bengkel dia menumpang beca Ali Lipas ke tempat mereka selalu berkumpul. Man losong tersenyum lebar bila melihat beberapa pengayuh beca yang mula kelihatan berseri dan penuh yakin. Bahkan ada yang mula menghias beca.
Dia yakin pengayuh beca akan terus diterima masyarakat.
Dia berharap benar mereka menerima beca bukan lagi sebagai pengangkutan harian, lebih daripada itu, beca menjadi daya tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara. Belum masanya beca hanya tontonan di muzium.- UTUSAN.










