Penalti patahkan hasrat Marquez, Acosta juara pecut GP Thailand

Penalti patahkan hasrat Marquez, Acosta juara pecut GP Thailand

Pelumba Sepanyol pasukan Red Bull KTM Factory Racing, Pedro Acosta (tengah) meraikan kemenangan bersama pelumba Ducati Lenovo Team, Marc Marquez (kiri) yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan pelumba Trackhouse MotoGP, Raul Fernandez di tempat ketiga selepas perlumbaan pecut Grand Prix MotoGP Thailand di Litar Antarabangsa Buriram, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BURIRAM: Juara dunia bertahan, Marc Marquez terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas penalti pada pusingan terakhir menafikan kemenangan dalam perlumbaan pecut pembuka tirai MotoGP Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Buriram, hari ini.

Pelumba Ducati Lenovo Team itu yang memburu gelaran dunia kelapan menyamai rekod, dikenakan arahan melepaskan satu kedudukan susulan gerakan yang dianggap tidak sah oleh pengarah perlumbaan.

Keputusan tersebut membuka ruang kepada pelumba muda Red Bull KTM Factory Racing, Pedro Acosta untuk meraih kemenangan sulung perlumbaan pecut dalam saingan 13 pusingan yang turut menyaksikan Marco Bezzecchi terjatuh seawal pusingan kedua.

“Saya fikir keputusan dibuat oleh pengarah perlumbaan, jadi saya hanya ikut peraturan,” kata Marc Marquez yang dilihat berjabat tangan dengan rakan senegaranya itu sejurus perlumbaan tamat.

“Malangnya saya dapat penalti itu, tetapi sembilan mata dan perlumbaan yang adil selepas kecederaan, tidaklah terlalu buruk dan saya gembira,” tambahnya.

Acosta yang memulakan perlumbaan di petak keenam menamatkan saingan dengan kelebihan 0.108 saat di depan Marquez, manakala Raul Fernandez melengkapkan podium di tempat ketiga.

Pelumba berusia 21 tahun itu mengakui pertarungan sengit dengan Marquez sebagai pengalaman berharga meskipun merasakan kemenangan tersebut hadir selepas lawannya melepaskan kedudukan akibat penalti.

Sementara itu, Ai Ogura menamatkan perlumbaan di tempat keempat diikuti Jorge Martin kelima dan Brad Binder keenam dalam aksi pembuka tirai yang turut memberi amaran awal bahawa perebutan kejuaraan musim ini bakal berlangsung sengit. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN