KUALA LUMPUR: Sabah terus dikenal pasti sebagai kawasan yang mempunyai aktiviti seismik paling aktif di Malaysia, dengan kemungkinan berlakunya gempa bumi pada tahap sederhana.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, bagi Semenanjung Malaysia pula, walaupun risiko kejadian gempa bumi tidak dapat diketepikan sepenuhnya, namun berdasarkan analisis data empirikal dan rekod kejadian terdahulu, kejadian yang berlaku dijangka tidak melebihi magnitud 6.0.
Katanya, berdasarkan data pemantauan berterusan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), penilaian risiko itu dibuat berdasarkan rekod sejarah, corak aktiviti seismik serta kedudukan tektonik negara.
“Berhubung kekerapan kejadian, sehingga kini tiada teknologi yang mampu meramal masa tepat berlakunya sesuatu gempa bumi.
“Bagaimanapun, pemantauan berterusan menunjukkan bahawa gegaran berskala kecil dijangka akan terus berlaku secara sporadik sebagai sebahagian daripada proses pelepasan tenaga tektonik.
“Maklumat ini akan digunakan sebagai asas kepada penilaian risiko serta perancangan kesiapsiagaan negara,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas-Kuala Kangsar) mengenai kesan terhadap permukaan struktur muka bumi Malaysia bagi jangka masa panjang susulan insiden kejadian gempa bumi dan status risiko kemungkinan kekerapan insiden gempa bumi boleh berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Beliau berkata, kedudukan tektonik Malaysia yang terletak di atas Pentas Sunda serta berada di luar Lingkaran Api Pasifik memberikan asas kestabilan geologi yang baik kepada negara.
Namun katanya, kestabilan itu perlu dilihat secara relatif memandangkan negara masih menerima kesan tegasan tektonik hasil interaksi plat-plat utama di rantau ini.
“Dari segi kesan jangka panjang terhadap struktur muka bumi, impak gempa bumi berlaku secara kumulatif dan melibatkan perubahan pada struktur geologi serta bentuk muka bumi.
“Gegaran berulang berpotensi mengaktifkan semula sesar-sesar kuno menyebabkan perubahan mikrostruktur batuan serta regangan pada lapisan kerak bumi.
“Dari sudut geomorfologi, kejadian gempa bumi boleh mengubah morfologi sungai serta menjejaskan kestabilan cerun secara kekal seperti yang berlaku di Ranau selepas gempa bumi 2015,” katanya. – UTUSAN










