KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak akan melindungi mana-mana kontraktor yang gagal melaksanakan obligasi kontrak dan sentiasa memastikan setiap projek infrastruktur persekutuan dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti serta memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan kerajaan khususnya bagi laluan utama keluar masuk ke negeri Kelantan.
Beliau berkata, penilaian tender bagi lantikan kontraktor oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengambil kira rekod prestasi terdahulu, keupayaan teknikal dan kedudukan kewangan pemohon.
Katanya, sejarah pelaksanaan projek oleh pemohon juga akan dinilai termasuk projek yang pernah ditamatkan kontraknya.
“Pihak JKR juga melaksanakan semakan tadbir urus dalaman bagi memperkukuh kawalan dan penilaian risiko supaya kontraktor yang dilantik benar-benar berkeupayaan serta bertanggungjawab.
“Semua proses perolehan kerajaan tertakluk sepenuhnya kepada peraturan dan garis panduan Kementerian Kewangan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KKR di Dewan Rakyat, hari ini.
Alexander berkata, KKR mengambil maklum kebimbangan Ahli Parlimen berhubung isu pelantikan kontraktor serta kemungkinan penglibatan individu yang sama melalui syarikat berlainan.
Katanya, semua aduan awam yang diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), surat rasmi dan laporan media sosial dijadikan asas pelaksanaan kerja penyelenggaraan kecemasan demi keselamatan pengguna.
“Pendekatan ini memastikan setiap projek infrastruktur persekutuan dilaksanakan secara berakauntabiliti dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
“Selain itu, sebarang kelalaian atau penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan kontraktor kerajaan tidak dibenarkan,” katanya.
Mengulas Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3D di kawasan Gua Musang, Kelantan, Alexander berkata, projek itu masih diteruskan dan tidak ditamatkan kontraknya.
Katanya, kemajuan fizikal semasa adalah mengikut jadual dengan pencapaian sebenar sebanyak 67 peratus berbanding jadual 67 peratus.
“Kelewatan projek berpunca daripada isu pengambilan balik tanah melibatkan lot Tanah Tidak Dapat Dikesan (TDK) yang telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
“Pihak JKR sedang melaksanakan pemantauan rapi secara mingguan bagi memastikan kontraktor mematuhi jadual program kerja yang telah disemak semula,” katanya. – UTUSAN










