MRT Corp laksana maklum balas awam skim LRT Pulau Pinang

MRT Corp laksana maklum balas awam skim LRT Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) akan melaksanakan sesi pemeriksaan awam bagi mendapatkan maklum balas terhadap pindaan skim Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang Laluan Mutiara.

MRT Corp dalam kenyataan berkata, sesi itu menumpukan kepada lanjutan jajaran menghubungkan bahagian pulau dan Seberang Perai.

Menurutnya, langkah itu adalah sebahagian usaha berterusan untuk mempertingkatkan kesalinghubungan di Pulau Pinang.

“Sesi pemeriksaan awam akan berlangsung selama tiga bulan bermula 24 Februari hingga 24 Mei, bagi memberi peluang kepada orang awam meneliti serta memberikan maklum balas terhadap lanjutan jajaran, lokasi stesen, dan butiran projek berkaitan.

“Pindaan skim LRT berkenaan merangkumi beberapa penambahbaikan terhadap skop projek, khususnya lanjutan jajaran rel merentasi laut yang menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar Seberang Perai,” katanya.

Jajaran rentas laut kira-kira enam kilometer itu akan menghubungkan Komtar dan Penang Sentral, dengan anggaran masa perjalanan sekitar lapan minit.

Penang Sentral akan dibangunkan sebagai stesen utama di Seberang Perai serta hab pengangkutan multimodal yang mengintegrasikan perkhidmatan feri, rel KTMB, dan bas sedia ada.

MRT Corp berkata, pelaksanaan LRT Laluan Mutiara akan memperkukuh akses mobiliti komuniti di Seberang Perai, dengan skim dipinda turut memperuntukkan kira-kira 1,000 petak parkir tambahan di Penang Sentral.

Melalui hab itu, katanya, penumpang akan menikmati kesalinghubungan terus ke destinasi utama seperti Komtar, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN