PETALING JAYA: Pemburuan slot ke peringkat akhir Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) atlet pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi diteruskan apabila dia beraksi di Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Universiti Clemson, California, Amerika Syarikat (AS), esok.
Azeem mewakili Universiti Auburn beraksi dalam dua acara masing-masing 60 dan 200 meter (m) dalam dewan pada kejohanan tersebut.
Ketua jurulatih olahraga Universiti Auburn, Leroy Burrell berkata, saingan sengit bakal diterima oleh atletnya dalam usaha mereka memburu slot akhir NCAA.
“Ini adalah kejohanan peringkat tinggi, jadi akan ada lebih banyak persaingan. Pada masa yang sama, kita akan dapat ujian sebenar tentang siapa kita dan apa yang kita mampu lakukan. Saya sangat teruja,” katanya.
Atlet dari Teluk Intan itu mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam saingan 200m apabila mencatat 21.50 saat (s) sekali gus mencipta rekod baharu kebangsaan di Kejohanan Bob Pollock Invitational di Clemson, minggu lalu.
Bagi kategori dalam dewan, itu merupakan rekod kedua Azeem selepas dia melakukan catatan masa 6.56s dalam acara 60m pada Kejuaraan SEC, Mac lalu.
Terdahulu, Azeem turut mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam acara 60m selepas melakukan catatan 6.60s masing-masing pada Kejohanan Jemputan UAB Blazer di Birmingham, Alabama serta Terbuka Samford, bulan lalu.
Ini adalah antara kejohanan yang disertai Azeem bersama Universiti Auburn sebagai persediaan menghadapi Kejuaraan SEC di Texas pada hujung bulan ini dalam usaha melayakkan diri ke final NCAA di Fayetteville pada 13 dan 14 Mac ini. – UTUSAN










