KUALA LUMPUR: Minit ke-89 menjadi saksi kebangkitan penuh dramatik Kuala Lumpur (KL) City apabila rembatan kencang Paulo Josue menamatkan perjuangan Terengganu FC (TFC) dengan keputusan agregat 3-2 dalam saingan Piala Malaysia, sebentar tadi.
Berbekalkan keputusan seri 1-1 pada aksi pertama, menyaksikan pertembungan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras berlangsung dalam tempo tinggi sejak wisel permulaan.
Kedua-dua pasukan menyedari satu kesilapan kecil mampu mengubah haluan agregat yang masih terbuka luas.
Pelawat terlebih dahulu menguji ketahanan mental tuan rumah apabila Akhyar Rashid menyempurnakan peluang pada minit ke-21 dan gol itu meletakkan Terengganu di hadapan secara agregat dan memaksa KL City menggandakan usaha memburu jaringan penyamaan.
Anak buah Risto Vidakovic tampil lebih agresif selepas rehat dengan gerakan lebih tersusun dari tengah ke hadapan.
Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-78 menerusi penyudah kemas Victor Ruiz, sekali gus mengikat kedudukan dan menyamakan agregat kepada 2-2.
Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, pengalaman Josue memisahkan kedua-dua pasukan.
Kapten KL City itu bijak memanfaatkan ruang di dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang bagi mengesahkan kemenangan 2-1 pada suku akhir kedua.
Sorakan ribuan penyokong tuan rumah menggamatkan stadium sebaik jaringan tersebut terhasil, manakala pemain Terengganu jelas terdiam dengan kekecewaan.
KL City sekali lagi membuktikan mereka memiliki kekuatan mental dalam aksi getir dan tidak mudah mengaku kalah.
Menanti mereka di separuh akhir ialah sama ada gergasi selatan, Johor Darul Ta’zim FC, atau Melaka FC yang masih dibayangi defisit besar 5-0.-UTUSAN










