KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi jaminan bahawa pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah akan kembali mengikut perancangan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan mengalami kelewatan melibatkan jajaran Sindumin ke Beaufort.
Katanya, jajaran itu melibatkan dua pakej kerja utama iaitu Pakej Kerja 1 (WP01) dari Sindumin ke Melalia sepanjang 28.5 kilometer (km) dan Pakej Kerja 2 (WP02) dari Melalia ke Beaufort sepanjang 34.7 km.
“Setakat ini, kemajuan fizikal WP01 berada pada tahap 87.79 peratus berbanding 97.64 peratus mengikut jadual asal manakala WP02 mencatatkan kemajuan 62.31 peratus berbanding 77.87 peratus.
“Status kemajuan semasa bagi kedua-dua pakej kerja ini mengalami kelewatan berbanding jadual asal disebabkan beberapa faktor serta kekangan teknikal,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KKR di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, kelewatan pelaksanaan projek LPB di Sabah adalah lebih rumit berbanding di Sarawak berikutan jumlah pakej kerja yang lebih banyak.
Katanya, pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah melibatkan anggaran jarak keseluruhan 706 km yang dibahagikan kepada 35 pakej kerja, berbanding di Sarawak sejauh 786 km yang hanya melibatkan 11 pakej kerja.
“Ini menyebabkan proses pengurusan, perolehan tender serta penyelarasan antara kontraktor, agensi kerajaan dan perunding menjadi lebih panjang.
“Keadaan ini secara tidak langsung menjadi antara punca kelewatan pelaksanaan projek LPB Sabah berbanding di Sarawak,” katanya.
Bagi memastikan projek LPB kembali mengikut landasan, Alexander memaklumkan, KKR dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah mengambil pelbagai tindakan tegas melalui langkah-langkah intervensi.
Pada masa sama, beliau turut menggesa kerajaan Sabah agar mengambil langkah meningkatkan kapasiti Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah serta JKR Sabah bagi menjamin kelancaran pelaksanaan projek infrastruktur utama di negeri berkenaan.
“KKR kekal komited memastikan projek ini siap mengikut jadual melalui pemantauan rapi Jawatankuasa Pemandu bulanan bersama JKR Sabah.
“Sebagai projek berimpak tinggi, kejayaannya adalah keutamaan kementerian demi memacu lonjakan sosioekonomi rakyat Sabah selaras aspirasi Malaysia Madani,” katanya. – UTUSAN










