KUALA LUMPUR: Nama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah kembali menjadi sebutan sebagai figura paling berwibawa untuk menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Cadangan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan The Real Warriors (TRW), Datuk Mohd Irwan Rizal yang berpandangan Kerabat Diraja mampu memberi nafas baharu kepada landskap bola sepak tanah air.
Menurut beliau, kedudukan dan pengaruh yang dimiliki golongan Diraja bukan sahaja dihormati rakyat, malah berupaya memperkukuh keyakinan penaja untuk kembali melabur dalam sukan nombor satu negara itu.
“Kalau bagi saya buat masa ini, yang terbaik adalah Sultan Pahang dan juga Tunku Mahkota Ismail. Kita harap Sultan Pahang dan Tunku Mahkota Ismail boleh perkenan atau pertimbangkan dan kalau ikut sejarah, baginda memang komited dalam sukan bola sepak.
“Raja Muda Selangor juga salah seorang tokoh bola sepak. Jadi jangan kita menidakkan pengaruh kedudukan Raja dalam bola sepak, selain amat dihormati rakyat dan sukan bola sepak juga adalah sukan rakyat.
“Kerabat Diraja juga boleh dianggap sebagai ‘magnet’ yang mampu menarik penaja untuk datang. Dana antara perkara paling penting dalam menguruskan bola sepak dan saya harap ahli gabungan boleh buat penilaian terbaik.
“Bola sepak negara perlu diterajui oleh figura yang memiliki keupayaan tinggi dan dihormati, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di dunia,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Isu kepimpinan FAM kembali hangat selepas kesemua kerusi Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) badan induk itu dikosongkan susulan peletakan jawatan secara beramai-ramai pada 28 Januari lalu.
Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah turut beberapa kali disebut sebagai calon sesuai untuk kembali menerajui FAM menjelang kongres pemilihan baharu, namun tarikh rasmi pemilihan masih belum dimuktamadkan.
Terdahulu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin turut menyatakan hasrat untuk merebut jawatan No.1 itu.
Mengulas perkara tersebut, Mohd Irwan menegaskan jawatan Presiden FAM bukan sekadar kedudukan simbolik, sebaliknya menuntut komitmen tinggi serta pemahaman mendalam terhadap selok-belok bola sepak.
“Niat dia mungkin baik, tapi belum tentu cara dia itu betul. Jadi, janganlah asyik nak tawar diri jadi presiden, kenapa tak tawar diri jadi EXCO dulu?. Bermula dari bawah.
“Siapa pun individu kalau nak tawarkan diri (jadi Presiden FAM), fikir lima, enam kali,”ujarnya.-UTUSAN










