KUALA LUMPUR: Kelantan The Real Warriors (TRW) mahu menggunakan saingan Piala Cabaran musim ini sebagai medan terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan yang berlarutan sejak 2013.
Kali terakhir pasukan dari Kelantan menjulang trofi utama Liga Malaysia (Liga M) adalah menerusi kejayaan memenangi Piala FA pada 2013.
Selepas itu, walaupun berlaku beberapa perubahan pasukan termasuk penjenamaan semula, kejuaraan masih belum kembali ke bumi Cik Siti Wan Kembang.
Sebagai satu-satunya wakil Kelantan dalam Liga Super ketika ini, TRW berazam untuk mengubah keadaan tersebut dan meletakkan semula pasukan di peta bola sepak negara.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan TRW, Datuk Mohd Irwan Rizal berkata, sasaran memburu Piala Cabaran bukan hanya datang daripada pihak pengurusan, malah turut dipersetujui pemain dan jurulatih.
“Kalau boleh dah tentulah kita nak menang Piala Cabaran pada musim ini. Ia bukan sahaja sasaran pihak pengurusan, malah barisan pemain dan jurulatih cukup bersemangat.
“Namun, mereka ambil pendekatan untuk fokus satu perlawanan ke satu perlawanan. Kita ada satu lagi tugas getir pada aksi kedua nanti dan harap kita dapat mara ke penghujungnya,” katanya ketika ditemui bersama rakan media di sini, semalam.
TRW kini berada dalam kedudukan baik untuk mara ke separuh akhir selepas menang 2-1 ke atas Imigresen FC pada aksi pertama suku akhir di Batu Kawan, Ahad lalu.
Pasukan kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu akan sekali lagi menentang Imigresen FC pada aksi kedua di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Isnin ini.
Kelebihan satu gol memberi sedikit kelebihan, tambahan pula mereka bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Irwan turut menjelaskan setakat ini tiada masalah tunggakan gaji besar, cuma terdapat sedikit kelewatan pembayaran bagi bulan Januari.
“Saya bersikap jujur, kita ada kelewatan sedikit pembayaran gaji pada bulan Januari yang akan diselesaikan dalam masa terdekat.
“Situasi ini disebabkan kita terpaksa selesaikan tuntutan serta kekangan yang timbul sebelum ini dan saya akan maklumkan kepada pasukan nanti,” jelasnya. – UTUSAN










