PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan, Addie Azwan Zainal tampil memohon maaf kepada peminat sukan futsal tanah air susulan kegagalan pasukan negara melangkah ke peringkat kalah mati dalam saingan Piala Asia Futsal 2026.
Skuad futsal negara menamatkan kempen Kumpulan D dengan rekod mengecewakan apabila mencatat tiga kekalahan berturut-turut, termasuk tewas 1-6 kepada Arab Saudi pada perlawanan terakhir di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, semalam.
Sebelum itu, Malaysia turut tunduk 1-4 kepada Iran dan dibelasah 0-7 oleh Afghanistan, keputusan yang menyaksikan skuad negara menghuni tangga tercorot kumpulan serta tersingkir awal daripada kejohanan.
Addie bagaimanapun menyifatkan persembahan anak buahnya tidak sepenuhnya teruk, sebaliknya mengakui masalah ketara yang dihadapi pasukan adalah kegagalan menterjemahkan peluang kepada jaringan.
“Pertama sekali, terima kasih kerana memberi saya peluang untuk membimbing pasukan kebangsaan kali ini. Kedua, saya memohon maaf sebab persembahan pasukan kebangsaan nak kata teruk, tak teruk, mungkin saya yang teruk dekat sini.
“Saya minta maaf bagi pihak pasukan, tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik. Mungkin tiada rezeki pada tahun ni, mungkin akan datang ada rezeki untuk pasukan.
“Saya harap semua yang bergiat dalam bidang futsal di Malaysia tidak berputus asa untuk bantu pasukan negara bagi kemajuan yang akan datang,” katanya.
Sebagai rekod, ini merupakan penampilan pertama skuad futsal negara di pentas Piala Asia sejak kali terakhir layak pada edisi 2018 di Taiwan, dan daripada 12 penampilan sejak 1999, Malaysia masih belum pernah melepasi peringkat kumpulan atau mara ke suku akhir.
Addie turut berharap penyokong terus berdiri teguh di belakang pasukan futsal kebangsaan yang dijadual mengharungi cabaran seterusnya dalam saingan Kejohanan Futsal AFF di Thailand, April ini.
“Perjalanan kita masih jauh dan pasukan kita semakin bagus sebenarnya. Kita layak ke Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta ini dan juga meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2025 di Thailand. Walaupun keputusan kurang baik (di Jakarta), tapi pemain menimba pengalaman yang cukup baik,” jelasnya.-UTUSAN







