JDT belasah Imigresen 5-0, kukuh cengkaman di persada liga

JDT belasah Imigresen 5-0, kukuh cengkaman di persada liga

PERTAHANAN JDT Joao Figueiredo meraikan gol jaringannya pada aksi Liga Super 2025/2026 menentang Imigresen FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini hari ini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar ketika membelasah Imigresen FC 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super dengan mengumpul 48 mata daripada 16 perlawanan.

Pada perlawanan itu, aksi kedua-dua pasukan tampak seimbang namun jaringan tunggal Joao Figueiredo membezakan antara JDT dan pasukan pelawat pada babak pertama itu.

Skuad kendalian Xisco Munoz itu hampir di hadapan pada seawal minit kelapan namun tandukan yang dilakukan Bergson Da Silva sedikit tersasar melewati palang gol.

Anak buah Yusri Che Lah hampir mengejutkan pasukan tuan rumah pada minit ke-10 menerusi gerakan Wilmar Jordan namun umpanan pemain import itu ke dalam kotak penalti gagal disudahkan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Pada minit ke-21, Figueiredo meletakkan JDT di hadapan setelah memanfaatkan umpanan Teto Martin dengan melepaskan rembatan deras ke penjuru kanan gol menewaskan penjaga gawang, Zarif Irfan Hashimuddin.

Bersambung babak kedua, Martin tampil menjana serangan dengan membuat jolokan bola kepada Bergson namun sepakan yang dilakukan penyerang kelahiran Brazil itu tersasar dari pintu gol Mighty Tigers seawal minit ke-45.

JDT menjarakkan kedudukan pada minit-59 setelah pemain pertahanan Imigresen, Milani Bueno tertampan bola sepakan lambung yang dilakukan Yago Cesar ke dalam gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola itu dari zon bahaya itu.

Dua minit berselang, giliran Bergson meletakkan nama dalam senarai penjaring setelah menerima umpanan Hector Hevel dan bijak melepasi kawalan pertahanan, Keron Ornchaiyaphum sebelum melepaskan sepakan lerek ke kiri pintu gol pada minit ke-61.

Pada minit ke-66, Martin yang mengesan Marcos Guilherme membuat larian telah membuat lorongan jarak jauh sebelum pemain kelahiran Brazil itu mudah menewaskan penjaga gol untuk meletakkan bola ke dalam gawang Imigresen.

Bergson melengkapkan kenduri gol JDT apabila meledak gol kelima perlawanan setelah membiaskan umpanan Hevel pada masa kecederaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN