PETALING JAYA: Hakim Danish Ramli memilih laluan lebih sukar, esok, apabila perlu mengharungi sesi kelayakan 1 (Q1) terlebih dahulu bagi memburu empat slot teratas untuk mara ke kelayakan 2 (Q2) pada perlumbaan kelas Moto3 Grand Prix Motosikal Thailand di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand.
Anak jati Terengganu itu yang melakukan penampilan sulung selaku pelumba tetap bagi musim 2026, melakar keputusan kurang memberangsangkan pada sesi latihan bebas pertama dan kedua, hari ini.
Pelumba AEON Credit MT MSi Racing itu bergelut untuk mencipta masa sepusingan yang lebih baik apabila sekadar berada di kedudukan ke-17 (1 minit 42.584 saat) pada sesi latihan pertama dan ke-22 (1:42.084s) untuk sesi latihan kedua.
Hakim Danish berkata, dia tetap positif pada sesi latihan bebas tadi kerana prestasinya jauh lebih baik berbanding sewaktu sesi ujian di Jerez, seminggu lalu.
“Saya rasa positif berbanding sesi ujian tempoh hari kerana semua orang tahu sewaktu ujian saya kurang yakin dan keadaannya berbeza dengan, hari ini.
“Setiap pusingan saya makin meningkat, cuma saya perlu terus memperbaiki posisi badan saya untuk pergi lebih laju dekat dalam trek,” katanya sewaktu ditemu bual selepas selesai sesi latihan bebas, hari ini.
Ketika ditanya insiden sewaktu sesi latihan bebas yang menyaksikan dia hampir terjatuh, kata Hakim Danish, ketika itu, dia cuba melakukan ‘hard braking’ sewaktu berada di selekoh.
“Saya hilang kawalan di bahagian tayar hadapan, tetapi, mujur saya berjaya mengawal kembali jentera dengan baik.
“Disebabkan kejadian itu, saya kehilangan banyak masa. Saya perlu menyesuaikan segera dengan situasi tersebut terutama ketika berada di selekoh,” ujarnya.
Insiden yang menimpa Hakim Danish itu berjaya mencuri perhatian pengulas MotoGP yang menyifatkan skil pelumba muda negara itu mengawal kembali jenteranya sebagai ‘save of the year’, walaupun Kejuaraan Motosikal Dunia baru hendak membuka tirai perlumbaan, hujung minggu ini.
Mengulas pula tentang sasarannya menjelang sesi kelayakan, Hakim Danish melahirkan keyakinan mampu mencatat masa sepusingan yang jauh lebih baik dan sekali gus mara daripada Q1 ke Q2.
Pelumba berusia 18 tahun itu juga melahirkan rasa gembiranya terhadap hubungan baik yang terjalin bersama ketua krew pasukan dan dia tidak menghadapi masalah untuk berkomunikasi. – UTUSAN










