Hakim Danish berdepan persaingan sengit di Buriram

Hakim Danish berdepan persaingan sengit di Buriram

Hakim Danish berjanji akan bekerja keras pada perlumbaan sebenar, esok, bagi kelas Moto3 pada Grand Prix Motosikal Thailand di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengakui dia berdepan persaingan yang cukup sengit sepanjang sesi kelayakan bagi kelas perlumbaan Moto3 pada Grand Prix (GP) Motosikal Thailand di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.

Anak jati Terengganu yang mewakili pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi itu berkata, ramai pelumba yang laju sehingga mendesaknya memacu jentera KTM ke tahap maksimum untuk kekal kompetitif.

“Dalam sesi kelayakan 1 (Q1) tadi memang agak sukar, ramai pelumba yang agak laju dan saya cuba memecut laju motosikal saya untuk mendapatkan tempat ke Q2,” katanya ketika ditemu bual selepas sesi kelayakan berakhir.

Hakim Danish, 18, melakar masa sepusingan 1:41.476s untuk muncul sebagai pelumba terpantas pada Q1 dan sekali gus merebut salah satu slot daripada empat tempat yang ditawarkan untut ke Q2.

Sewaktu Q2, pelumba muda itu melengkapkan aksinya di kedudukan ke-15 dengan catatan masa sepusingan 1 minit 41.761 saat (s).

Pelumba Sepanyol, David Almansa yang mewakili pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP mengungguli saingan Q2 dengan ciptaan masa sepusingan 1:40.088s dan sekali gus, akan memulakan perlumbaan, esok, di petak pertama.

Berada di petak kedua dan ketiga pula menjadi milik pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe (1:40.518s) serta Adrian Fernandez (1:40.518s) dari pasukan Leopard Racing.

Menurut Hakim Danish, sewaktu Q2, persaingan yang diterimanya lebih sengit dengan kelompok pelumba yang lebih laju berbanding Q1.

“Saya semakin selesa dengan pelarasan dan tetapan jentera yang disediakan krew pasukan, tetapi, masih ada beberapa bahagian yang saya perlu perbaiki,” katanya.

Mengulas pula mengenai strategi menjelang perlumbaan, esok, Hakim Danish berkata, semua percaturan pasukannya bergantung kepada keadaan cuaca dan yakin apa sahaja situasi, dia berharap dapat mengharungi persaingan sengit itu.

“Saya rasa cuaca bukan menjadi isu kepada saya, cuma dalam fikiran saya penting untuk fokus dan bekerja keras sepanjang perlumbaan. Saya harap rakyat Malaysia dapat doakan kejayaan saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN