PETALING JAYA: Penduduk Gaza berdepan ancaman kemanusiaan yang semakin kritikal apabila wabak penyakit mula merebak dalam keadaan sekatan berterusan, musim sejuk yang ekstrem serta kekurangan bekalan makanan dan perubatan menjelang Ramadan.
Ketua Program Pejabat Gaza Cinta Gaza Malaysia (CGM), Alaa Mansour memberi amaran penularan penyakit berjangkit, termasuk meningitis, sudah mula meragut nyawa kanak-kanak susulan keadaan hidup yang tidak berperikemanusiaan, kepadatan penempatan pelarian dan tahap kebersihan yang sangat terhad.
Menurutnya, sekatan yang masih dikenakan menghalang kemasukan bekalan makanan berkhasiat serta ubat-ubatan penting yang diperlukan untuk menguatkan sistem imun, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, wanita dan warga emas yang paling terdedah kepada komplikasi kesihatan.
“Jika sekatan dan sekatan bantuan ini berterusan, risiko kesihatan awam akan menjadi lebih parah sepanjang Ramadan, terutama apabila cuaca sejuk memburukkan lagi keadaan.
“Keadaan tersebut menyaksikan ribuan keluarga hidup dalam situasi serba kekurangan selepas kehilangan kediaman dan sumber makanan, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan penyakit akibat persekitaran yang sesak dan tidak bersih.
“Harapan itu sangat rapuh dan tiada jaminan jangka panjang. Namun, masyarakat Gaza percaya kezaliman tidak akan kekal selamanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau menegaskan, bagi penduduk Gaza, Ramadan bukan lagi bulan sambutan atau kemeriahan, sebaliknya menjadi tempoh untuk bertahan meneruskan kelangsungan hidup, menahan lapar dan menghadapi ancaman penyakit dalam suasana serba tidak menentu.
Situasi itu mencerminkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing apabila penduduk awam terus menanggung kesan sekatan, kemusnahan dan kegagalan akses kepada keperluan asas, termasuk rawatan kesihatan yang mencukupi.
Alaa Mansour memberi amaran bahawa tanpa campur tangan segera dan pembukaan laluan bantuan yang lebih luas, Ramadan di Gaza berisiko bertukar menjadi tempoh paling gelap, khususnya bagi kanak-kanak yang menjadi mangsa senyap konflik berpanjangan. – utusan











