ALOR SETAR: Malaysia sudah memulakan fasa pertama persiapan untuk menghadapi Sukan SEA 2027 yang dijadualkan berlangsung di Sarawak, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor dari 18 hingga 29 September itu.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pelaksanaan tersebut merangkumi persiapan atlet yang bakal mewakili negara, selain persiapan berkaitan fasiliti.
“Kita sudah merangka dan juga telah pun melaksanakan beberapa siri pertemuan bersama Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan sekarang kita dah masuk ke fasa satu persiapan.
“Saya juga akan mengadakan mesyuarat bersama dengan MASOC dalam masa terdekat untuk memuktamadkan beberapa persiapan dan keperluan lain,” katanya pada program Jelajah Rakan Muda @ Program Sahur Rakan Muda, awal pagi ini.
Tambahnya, tema dan maskot serta beberapa perkara berkaitan juga akan diumumkan setelah perbincangan bersama semua pihak berkepentingan diselesaikan.
“Paling penting adalah kita nak pastikan logistik kita tidak ada masalah, sebab kali ini sebenarnya menjadi cabaran juga kerana Sukan SEA 2027 melibatkan empat buah negeri, jadi kita sedang membuat persiapan yang cukup rapi,” katanya.
Sementara itu, Mohammed Taufiq berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu kekal fokus membuat persiapan bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 31 Mac ini, walaupun sedang menunggu keputusan rayuan kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Beliau berkata, apa jua keputusan yang bakal diterima kelak, diharapkan tidak memberi kesan mendalam terhadap pembangunan bola sepak negara.
“Kita masih menunggu keputusan. Buat masa ini belum ada kenyataan bertulis, namun apa juga keputusan yang dibuat nanti, saya harap itu yang terbaik. Keputusan itu penting kerana sedikit sebanyak akan mempengaruhi pembangunan bola sepak kita, jadi saya harap ia dapat diselesaikan dengan segera.
“Saya juga berharap agar penyokong bola sepak tanah air bertenang menunggu keputusan dan tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia boleh mengganggu fokus pasukan kebangsaan,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti langkah yang boleh diambil, namun tidak akan melangkaui garis pemisah yang ditetapkan.
“Kita ada garis pemisah antara kementerian dan persatuan sukan. Apabila keputusan CAS sudah keluar, barulah kita akan melihat apa yang boleh dibuat. KBS tidak boleh campur tangan dalam urusan itu. Saya akan beri komen lanjut selepas keputusan diumumkan,” katanya.
Pada Disember lepas, FAM mengesahkan telah mengemukakan Pernyataan Rayuan kepada CAS berhubung hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap badan induk itu dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Ia susulan FIFA mengesahkan FAM dan tujuh pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha; Facundo Garces; Rodrigo Holgado; Imanol Manchuca; Joao Figueiredo; Jon Irazabal dan Hector Hevel didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung kesalahan pemalsuan dokumen. – UTUSAN










