SEPANG: Ducati Official Club Malaysia (DOCM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara komuniti permotoran berpengaruh di negara ini apabila meraikan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Ke-10 serentak dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-9 dalam satu majlis gala berprestij di Hotel Sama-Sama, di sini, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sahot yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, sekali gus mencerminkan sokongan padu kerajaan terhadap peranan komuniti permotoran berdaftar dalam pembangunan pelancongan negara.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta Presiden DOCM, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin, selain barisan kepimpinan dan ahli DOCM dari seluruh negara.
Shaharuddin merakamkan tahniah kepada DOCM atas kejayaan membina sebuah komuniti permotoran yang berdisiplin, berprestij dan profesional dengan lebih 1,800 ahli berdaftar sepanjang sedekad penubuhannya.
Menurut beliau, DOCM bukan sekadar sebuah kelab motosikal, sebaliknya berkembang sebagai platform yang menitikberatkan aspek disiplin, keselamatan jalan raya, semangat kesukarelawanan serta mempromosikan imej positif Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Penglibatan aktif DOCM di peringkat global, khususnya penyertaan dalam World Ducati Week (WDW) di Itali, telah mengharumkan nama Malaysia.
“DOCM juga antara kelab Ducati terbesar yang menghantar sehingga 100 delegasi dari Malaysia merentasi beberapa negara Eropah termasuk Itali, Switzerland, Jerman dan Austria,” katanya.
Beliau berkata, penyertaan antarabangsa itu secara tidak langsung menyokong usaha mempromosi pelancongan negara dan mengukuhkan penjenamaan ‘Tourism Malaysia’ menerusi konsep pelancongan motosikal yang semakin mendapat tempat di peringkat global.
Majlis berkenaan turut menjadi simbol pengiktirafan kerajaan terhadap peranan kelab permotoran berdaftar dalam memupuk budaya menunggang yang bertanggungjawab, mematuhi undang-undang serta menyumbang kepada keselamatan jalan raya dan keharmonian sosial.
Dalam majlis sama, DOCM turut menyampaikan penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa dan para sukarelawan yang menjadi tulang belakang kejayaan kelab sepanjang 10 tahun penubuhannya, selain komitmen berterusan dalam menjayakan program kebajikan, keselamatan dan aktiviti berimpak tinggi.
Kerajaan turut menggalakkan DOCM untuk terus meneroka penganjuran acara dan program bertaraf antarabangsa di Malaysia yang bukan sahaja memperkukuh ekosistem permotoran negara, malah berpotensi menarik kehadiran pelancong asing serta merancakkan industri pelancongan dan hospitaliti.
Sambutan Ulang Tahun Ke-10 DOCM menandakan satu dekad kejayaan kelab itu sebagai duta tidak rasmi Malaysia dalam arena permotoran dua roda di persada antarabangsa.-UTUSAN










