City bertemu tuan piala, PSG ulang final 'berdarah'

City bertemu tuan piala, PSG ulang final ‘berdarah’

Gambar ini memaparkan skrin yang menayangkan keputusan undian pusingan 16 terbaik, suku akhir dan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2025-2026 yang berlangsung di House of European Football, Nyon, Switzerland, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NYON: Pentas Eropah sekali lagi menyajikan pertembungan gergasi apabila juara 15 kali, Real Madrid diundi bertemu Manchester City pada pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL), malam tadi.

Undian yang berlangsung di Nyon itu menyaksikan dua kuasa besar benua berkenaan terus ‘bermusuhan’ di pentas kalah mati, seolah-olah sudah menjadi skrip tetap beberapa musim kebelakangan ini.

Real yang sinonim dengan gelaran The Galacticos memiliki rekod lebih meyakinkan apabila menyingkirkan wakil England itu dalam tiga daripada empat pertemuan terakhir di peringkat sama.

Pertembungan tersebut dijangka sekali lagi mencuri tumpuan, apatah lagi kedua-dua pasukan sarat dengan bintang dan reputasi selaku calon kejuaraan.

Sementara itu, juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG) turut berdepan cabaran getir apabila diundi menentang Chelsea dalam aksi yang disifatkan sebagai pentas membalas dendam.

Perlawanan itu menjadi ulangan final Piala Dunia Kelab 2025 yang sebelum ini memihak kepada The Blues, sekali gus membuka ruang buat PSG menebus kekecewaan.

Dalam pada itu, Barcelona bakal berdepan cabaran Newcastle United, dengan wakil Sepanyol itu dijangka tidak boleh memandang rendah kebangkitan kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan.

Arsenal pula dilihat menerima undian yang lebih memihak apabila bakal berdepan wakil Bundesliga, Bayer Leverkusen dalam usaha meneruskan kemaraan.

Liverpool turut berdepan ujian getir apabila dijadual bertemu wakil Turkiye, Galatasaray yang terkenal dengan aura luar biasa di laman sendiri.

Bayern Munich pula akan menentang Atalanta dalam satu lagi pertembungan yang dijangka sengit melibatkan dua pasukan yang gemar mengamalkan corak permainan menyerang.

Atletico Madrid bakal membuat perhitungan dengan Tottenham Hotspur dalam aksi yang menjanjikan pertarungan taktikal penuh disiplin dan intensiti tinggi.

Satu lagi kejutan menarik menyaksikan Bodo/Glimt dari Norway diundi bertemu Sporting CP dalam usaha mencipta sensasi di pentas elit Eropah.

Perlawanan pertama pusingan 16 terbaik dijadual berlangsung pada 10 hingga 11 Mac ini, sebelum aksi timbal balik pada 17 hingga 18 Mac yang bakal menentukan lapan pasukan terbaik mara ke suku akhir. – AGENSI

UNDIAN PENUH PUSINGAN 16 TERBAIK LIGA JUARA-JUARA (UCL) 

PSG lwn Chelsea
Galatasaray lwn Liverpool
Real Madrid lwn Manchester City
Atalanta lwn Bayern Munich
Newcastle United lwn Barcelona
Atletico Madrid lwn Tottenham Hotspur
Bodo/Glimt lwn Sporting CP
Bayer Leverkusen lwn Arsenal

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN