PETALING JAYA: Perjuangan skuad wanita negara berakhir selepas tunduk kepada Korea Selatan 0-3 pada suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Qingdao, China, hari ini.
Pemain ke-37 dunia, K. Letshhanaa yang membuka aksi selaku perseorangan pertama bukanlah tandingan buat bintang No. 1 dunia, An Se Young apabila tumpas 11-21, 11-21 dalam masa 36 minit.
Kegagalan yang sememangnya dijangka itu menyaksikan Letshanaa kini ditimpa kekalahan buat kali ketiga berturut-turut di tangan Se Young.
Dalam perlawanan kedua membabitkan beregu, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang menghuni ranking ke-25 dunia turut akur kepada pasangan pecah ganding Korea Selatan, Baek Ha Na-Kim Hye Jeong 13-21, 9-21 dalam masa 40 minit.
Ketinggalan 0-2, pemain perseorangan No. 41 dunia, Wong Ling Ching yang sepatutnya mampu menghadirkan tentangan kepada Park Ga Eun yang menghuni ranking ke-70 dunia juga gagal menghadiahkan mata buat Malaysia.
Ling Ching tewas straight set kepada Ga Eun 16-21, 12-21 dalam masa 44 minit dan sekali gus menjadikan keputusan Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan 0-3.
Kekalahan tersebut menyaksikan beregu kedua, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan dan perseorangan ketiga, Siti Zulaikha Muhammad Azmi tidak perlu turun ke gelanggang.
Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad wanita negara pada penampilan di BATC ialah mara sehingga ke separuh akhir pada edisi 2020 dan 2022 sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah. – UTUSAN









