BAM lantik Lim Kenn sebagai Ketua Pembangunan Saluran Bakat

BAM lantik Lim Kenn sebagai Ketua Pembangunan Saluran Bakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik bekas pemain remaja kebangsaan, Lim Kenn sebagai Ketua Pembangunan Saluran Bakat berkuat kuasa 1 Mac ini bagi memperkukuh penyelarasan antara Persatuan Badminton Negeri dan BAM.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan BAM, semalam, pelantikan itu bertujuan memastikan pembangunan di peringkat negeri selari dengan piawaian serta hala tuju prestasi BAM.

Selain itu, ia juga bertujuan bagi merapatkan jurang kualiti serta kemahiran antara pemain negeri dan skuad kebangsaan bagi melancarkan peralihan ke tahap elit.

Dalam peranan baharunya, Lim akan memantau pembangunan di Persatuan Badminton Negeri serta menyelia keseluruhan struktur laluan bakat BAM, sekali gus memastikan program negeri bergerak seiring dengan rangka kerja latihan kebangsaan.

Tanggungjawab beliau merangkumi pengukuhan struktur latihan, metodologi kejurulatihan, pemantauan kecergasan dan penerapan pendekatan sains sukan yang lebih sistematik.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Dr. Lee Chong Wei berkata, langkah penyelarasan dan penghubung itu amat penting bagi memastikan setiap negeri bergerak selari dengan hala tuju teknikal serta prestasi yang ditetapkan di peringkat kebangsaan.

“BAM akan melaksanakan pemantauan berkala setiap dua atau tiga bulan dengan menghantar jurulatih ke negeri-negeri.

“Tujuan lawatan ini adalah untuk menilai pembangunan pemain, memberi bimbingan tambahan kepada jurulatih negeri serta mengenal pasti bakat baharu berpotensi tinggi.

“Bagi saya, Persatuan Badminton Negeri memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan pemain untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan setiap tahun. Justeru, kekuatan di peringkat akar umbi adalah asas kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.

Selain itu, inisiatif baharu tersebut turut melibatkan perkongsian kepakaran jurulatih kebangsaan bersama jurulatih negeri, termasuk modul latihan terkini, analisis video perlawanan serta pendekatan taktikal moden yang digunakan di peringkat antarabangsa.

BAM turut menekankan keperluan merangka idea baharu bagi menarik lebih ramai pemain muda khususnya di peringkat sekolah untuk menceburi badminton.

Kerjasama lebih erat dengan sekolah-sekolah serta pihak berkepentingan lain akan dipertingkat dan diselaraskan dengan lebih berkesan.

“Kami percaya pendedahan awal kepada latihan berkualiti, persekitaran kompetitif dan sokongan menyeluruh akan membantu membentuk generasi pemain yang lebih berdaya tahan, berdisiplin dan bersedia menghadapi cabaran di peringkat lebih tinggi,” tambah Chong Wei.

Menerusi perancangan jangka panjang itu, sasaran jelas terhadap pemain yang akan beraksi di Sukan Olimpik 2032 dan Sukan Olimpik 2036, serta edisi seterusnya, dapat dikenal pasti lebih awal, sekali gus menjamin kesinambungan prestasi pemain kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN