BAM ambil pendekatan tunggu dan lihat isu 15 mata

BAM ambil pendekatan tunggu dan lihat isu 15 mata

Kenny Goh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum membuat keputusan muktamad berhubung cadangan sistem pemarkahan 15 mata yang akan diundi pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persekutuan Badminton Dunia (BWF), 25 April ini di Horsens, Denmark.

 

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, badan induk itu akan mengadakan perbincangan dalaman bersama pemain dan jurulatih sebelum menentukan pendirian rasmi Malaysia menjelang mesyuarat tersebut.

 

Menurutnya, BAM sudah mendapatkan maklum balas daripada ahli gabungan negeri selepas sistem 15 mata itu diuji dalam beberapa kejohanan termasuk peringkat International Challenge dan Kejohanan Kebangsaan.

 

“Saya boleh faham kenapa BWF mencadangkan sistem ini kerana ia mungkin lebih mesra penonton dari segi tempoh perlawanan dan detik keterujaan yang datang lebih cepat, selain berdasarkan kajian mereka ia membantu tempoh pemulihan pemain.

 

“Bagaimanapun, bagi saya secara peribadi agak sukar untuk menilai sama ada ia benar-benar sesuai kerana kebanyakan ujian dilakukan di kejohanan bawahan dan belum diuji di peringkat tertinggi,” kata Kenny kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

 

Kenny menjelaskan Malaysia mempunyai lima undian pada AGM BWF, iaitu jumlah maksimum yang ditetapkan berdasarkan kriteria seperti bilangan pemain berdaftar, penganjuran kejohanan serta tahap tadbir urus persatuan.

 

“Apabila kita mengundi, kita akan mendapat lima bilangan undian. Kita perlu dua pertiga undian daripada 200 ahli gabungan BWF untuk meluluskan cadangan sistem permarkahan ini,” katanya.

 

BWF pada 8 November lalu bersetuju mencadangkan sistem 15 mata sebagai format rasmi selepas melalui proses penilaian menyeluruh termasuk analisis statistik, ujian pertandingan serta perundingan bersama pihak berkepentingan, dengan usul itu akan dibentangkan untuk undian pada AGM di Horsens, Denmark, 25 April ini.

 

Dalam perkembangan berasingan, Kenny mengesahkan surat peletakan jawatan daripada pemain beregu wanita negara, Go Pei Kee, sudah diterima BAM namun belum ada keputusan rasmi dibuat setakat ini.

 

“Kami belum menolak surat tersebut dan difahamkan Datuk Seri Lee Chong Wei akan mengadakan pertemuan dengannya dalam masa terdekat sebelum sebarang keputusan diumumkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN