ISKANDAR PUTERI: Perlawanan menentang kelab Jepun, Vissel Kobe menjadi misi wajib menang buat Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi terakhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata kemenangan dalam perlawanan tersebut akan membolehkan skuad kendaliannya berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Zon Timur bagi melangkah ke pusingan seterusnya.
“Saya tidak rasa terlalu tertekan kerana yakin kemampuan pemain kami apatah lagi di laman sendiri. Skuad ini mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang keramat walaupun pihak lawan adalah pendahulu kumpulan.
“Ini perlawanan penting dimana lawan kami adalah salah satu pasukan terbaik Jepun, pastinya cabaran besar menanti sepanjang 90 minit esok. Namun, saya percaya JDT ada kelebihan bermain di laman sendiri, jadi kami perlu manfaatkan peluang itu,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
JDT kini menghuni tangga ketujuh carta kumpulan A Zon Timur dengan mengumpul lapan mata hasil tujuh perlawanan yang menyaksikan Harimau Selatan menang dua perlawanan, dua seri serta kalah tiga kali, manakala Vissel Kobe pula menghuni takhta kumpulan dengan mengumpul 16 mata.
Tambah pengendali kelahiran Sepanyol itu lagi, Vissel Kobe merupakan satu pasukan kuat dan pastinya JDT akan berdepan kesukaran untuk memenangi perlawanan, namun tiada perkara yang mustahil dalam bola sepak.
“Dalam perlawanan besar seperti ini, kita perlu bermain lebih matang dan ingat bahawa satu kesilapan kecil akan membinasakan pasukan. Oleh itu pemain perlu fokus dan disiplin sepanjang permainan,” ujarnya.
Sementara itu, Bergson Da Silva pula memberitahu skuad Harimau Selatan itu sudah bersiap sedia untuk ‘mengganas’ dalam perlawanan esok susulan sokongan padu yang bakal diterima penyokong dalam stadium.
“Semua pemain sudah bersedia sepenuhnya daripada segi mental dan fizikal, aspek ini penting untuk berdepan perlawanan penting seperti ini. Selama ini penyokong beri sokongan teguh kepada JDT, jadi kini tiba masa kami berikan segalanya demi kelab dan penyokong,” katanya. – UTUSAN










