Zii Jia nampak sinar walau kandas

Zii Jia nampak sinar walau kandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia melihat petanda positif dalam prestasinya di Terbuka India walaupun langkahnya tersekat seawal pusingan pertama kejohanan berkenaan, hari ini.

Bekas juara All England itu terpaksa akur kepada wakil Denmark, Rasmus Gemke, selepas tewas dalam pertarungan tiga set 13-21, 21-18, 18-21 yang berlangsung selama 62 minit di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi.

Meskipun keputusan tidak memihak kepadanya, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu menilai persembahannya kali ini lebih meyakinkan berbanding aksi di Terbuka Malaysia minggu lalu.

“Berdasarkan apa yang saya lakukan di Terbuka Malaysia dan perlawanan hari ini, saya rasa terdapat banyak peningkatan.

“Saya mahu menang, tetapi nampaknya ia masih belum mencukupi di set ketiga dan saya perlu menerimanya,” kata Zii Jia.

Zii Jia yang masih dalam fasa pemulihan kecederaan mengakui proses itu menuntut kesabaran tinggi, namun perkembangan semasa memberinya isyarat positif untuk kembali bersaing secara konsisten.

Kekalahan tersebut turut menyaksikan pemain berusia 28 tahun itu masih belum memecahkan kebuntuan menentang Gemke selepas tewas dalam kelima-lima pertemuan mereka setakat ini.

Mengalihkan fokus ke Indonesia Masters minggu depan, Zii Jia berharap dapat meraih keputusan lebih baik bagi membina semula momentum dan kembali menghampiri kelompok 20 pemain terbaik dunia menjelang penghujung musim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN