PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan Mithun Manjunath dari India pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Thailand Masters di Bangkok, Thailand, hari ini.
Zii Jia yang kini menghuni ranking No. 79 dunia menyingkirkan pemain ke-60 dunia itu
11-21, 21-16, 21-12 dalam masa 52 minit.
Pada suku akhir, laluan yang lebih sukar menanti Zii Jia apabila juara Indonesia Masters, Alwi Farhan menjadi pencabar anak jati Kedah itu.
Zii Jia belum pernah bertemu Alwi dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini.
Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, Chia Weijie-Lwi Sheng Hao turut mara ke peringkat lapan terbaik.
Beregu profesional Malaysia itu menundukkan wakil tuan rumah, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul 21-14, 15-21, 21-19 dalam masa 49 minit.
Weijie-Sheng Hao yang berada di ranking ke-44 dunia akan menghitung pertemuan dengan gandingan No. 16 dunia yang diletakkan sebagai pilihan pertama, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana dari Indonesia di suku akhir.
Dua lagi wakil negara, Justin Hoh dan Kang Khai Xing-Aaron Tai tersingkir di pusingan kedua selepas akur kepada lawan masing-masing. – UTUSAN










