PETALING JAYA: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia mahu musim ini dijadikan pentas kebangkitan semula dan bukan sekadar untuk melihat dirinya kembali berbisa seperti dahulu.
Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-144 dunia itu berkata, matlamatnya pada musim ini adalah untuk mendapatkan rentak kembali serta meletakkan sasaran berada di kedudukan 20 terbaik dunia.
“Seperti yang saya katakan, dari segi kecederaan keadaan saya semakin baik, tetapi dari segi fizikal saya perlu membina semula keyakinan dan momentum melalui penyertaan dalam kejohanan.
“Yang pasti, saya sedang berusaha mendapatkan kembali momentum saya dan dari segi ranking pula, saya berharap menjelang akhir tahun ini dapat kembali ke kedudukan 20 terbaik” kata Zii Jia.
Kelmarin, pemain berusia 28 tahun itu sekali lagi tewas pada aksi pembukaan buat kali keenam berturut-turut di Kejohanan Badminton Terbuka India selepas akur dengan wakil Denmark, Rasmus Gemke 13-21, 21-18, 21-18.
Kekalahan itu menandakan Zii Jia masih belum memenangi sebarang perlawanan dalam Jelajah Dunia BWF sejak mara ke suku akhir Orleans Masters di Perancis pada Mac tahun lalu.
Mengulas mengenai cabaran dilanda kecederaan sejak dua tahun kebelakangan ini, Zii Jia berkata proses pemulihan amat sukar dan memerlukan kesabaran tinggi untuk kembali ke landasan yang tepat.
“Memang kecederaan sentiasa menjadi cabaran besar bagi atlet, dan bagi diri saya sendiri, saya sedang melalui proses yang sangat sukar, tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk kembali.
“Bagaimanapun, ada beberapa perkembangan positif yang boleh dilihat sejak minggu lepas dalam apa yang saya lakukan di Terbuka Malaysia, dan jika dibandingkan dengan perlawanan semalam (kelmarin), saya rasa banyak peningkatan yang dicapai,” katanya.
Minggu lalu, selepas lebih tiga bulan tidak beraksi, Zii Jia membuat kemunculan semula di laman sendiri pada Terbuka Malaysia, namun dikecewakan oleh pemain India, Ayush Shetty, pada aksi pembukaan. – UTUSAN










