PETALING JAYA: Dua tonggak utama negara, Stuart Wilkin dan Syamer Kutty Abba, kembali memperkuatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi baki saingan Liga Super musim ini
Wilkin, 28, kembali ke Harimau Selatan selepas beraksi selama empat musim bersama pasukan Sabah FC.
Perpindahan itu diumumkan secara rasmi oleh JDT menerusi video di platform Johor Southern Tigers.
“Selepas empat musim pergi, Stuart Wilkin adalah Harimau Selatan sekali lagi! Selamat datang ke Rumah Juara!,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Wilkin yang sebelum ini dipinjamkan ke Sabah pada musim 2021/2022 sebelum menyertai pasukan itu secara tetap pada musim 2022/2023, telah mencatatkan 109 penampilan bersama Sang Badak, meledak 17 gol dan memberi 21 bantuan jaringan.
Kembalinya beliau menjadikan Wilkin pemain tengah kedua yang menyertai JDT selepas Rui Filipe.
Dalam pada itu, Syamer juga disahkan kembali ke JDT selepas habis tempoh pinjaman bersama KL City musim ini.
Anak jati Pulau Pinang itu menyertai KL City sejak Julai 2025 dan telah mencatat 13 penampilan serta satu gol sepanjang tempoh tersebut.
KL City mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain tengah kebangsaan itu dalam kenyataan rasmi mereka.
Kehadiran semula Wilkin dan Syamer dijangka memberikan impak besar kepada kekuatan tengah JDT menjelang saingan Liga Super musim ini.-UTUSAN










