PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 6 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun bergelut sebelum mara ke suku akhir selepas menyingkirkan Hariharan Amsakarunan-M. R. Arjun dari India pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Wei Chong-Kai Wun yang tidak pernah bertemu beregu ke-46 dunia itu meraih kemenangan 21-17, 9-21, 21-16 dalam masa 54 minit.
Ujian sebenar menanti mereka pada suku akhir, esok, apabila beregu tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani yang menghuni ranking No. 7 dunia menanti Wei Chong-Kai Wun.
Sabar-Moh Reza menyingkirkan beregu profesional Malaysia, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong 19-21, 21-16, 21-17 dalam masa 56 minit.
Dalam aksi terdahulu, beregu campuran No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membenam pasangan ke-33 dunia, Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 21-12, 21-18 dalam masa 35 minit.
Pada suku akhir, Tang Jie-Ee Wei akan berdepan beregu gabungan dua negara iaitu Singapura dan Indonesia, Terry Hee-Gloria Emanuelle Widjaja.
Turut mara ke peringkat sama, beregu gabungan dua negara, Malaysia dan Korea Selatan, Choi Sul Gyu-Goh V Shem yang menewaskan Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi dari China 25-23, 23-21 dalam masa 46 minit.
Beregu Denmark, Daniel Lundgaard atau Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita dari Jepun bakal menjadi pencabar Sol Gyu-V Shem di peringkat lapan terbaik.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa wakil perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia yang terpaksa akur kepada Panitchaphon Teeraratsakul dari Thailand 21-15, 17-21, 8-21 dalam masa 57 minit. – UTUSAN










