KUALA LUMPUR: Beregu lelaki No. 2 negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas mengetepikan rakan senegara, Nur Mohd Azryin Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong pada peringkat 32 terbaik Terbuka India di New Delhi, India, hari ini.
Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking No. 6 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas gandingan profesional Malaysia 21-16, 21-15 dalam masa 29 minit.
Kemenangan itu menyaksikan Wei Chong-Kai Wun kini semakin melebarkan rekod pertemuan ke atas Azryin-Wee Kiong kepada 3-0.
Wei Chong berkata, kemenangan mereka pada hari ini banyak dibantu daripada kecemerlangan permainan rakan gandingannya, Kai Wun.
“Pasangan saya bermain baik, hari ini, dia banyak membantu kutipan mata kami.
“Dalam aksi tadi menentang rakan senegara, bagi saya ia bukanlah laluan mudah, walaupun pertemuan ini di peringkat 32 terbaik,” katanya ketika ditemu bual wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.
Pada peringkat 16 terbaik, Khamis ini, Wei Chong-Kai Wun akan berdepan pasangan No. 24 dunia, Christo Popov-Toma Junior Popov.
Beregu Perancis itu menewaskan beregu Malaysia, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal 21-11, 21-19 dalam masa 35 minit pada pusingan awal.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua beregu, Wei Chong-Kai Wun memiliki kelebihan psikologi ke atas gandingan adik beradik Popov itu dengan rekod kemenangan 4-0.
Kali terakhir beregu negara itu menentang wakil Perancis tersebut adalah pada China Masters yang berkesudahan Wei Chong-Kai Wun menang dalam pertarungan sengit 21-11, 25-27, 21-15.
Sementara itu, satu lagi beregu profesional Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tunduk kepada pasangan tuan rumah, Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun 15-21, 18-21 dalam masa 36 minit. – UTUSAN










