Velodrom Rakyat perlukan komitmen Kerajaan Perak, PKBM

Velodrom Rakyat perlukan komitmen Kerajaan Perak, PKBM

Keadaan terkini Velodrom Rakyat. - IHSAN PKBM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi isyarat jelas bahawa usaha memulihara dan memastikan kelangsungan Velodrom Rakyat di Ipoh tidak wajar terus diletakkan sepenuhnya di bahu Kerajaan Persekutuan, sebaliknya memerlukan komitmen bersama Kerajaan Negeri Perak serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Pendirian itu dinyatakan susulan pendedahan media kelmarin mengenai keadaan velodrom bersejarah berkenaan yang kini didakwa semakin uzur dan berisiko, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna serta masa depan fasiliti tersebut.

Dalam satu kenyataan semalam, KBS menegaskan bahawa Velodrom Rakyat adalah aset milik Kerajaan Negeri Perak dan berada di bawah seliaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), sekali gus menjelaskan kedudukan sebenar tanggungjawab penyelenggaraan fasiliti itu.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah memainkan peranan signifikan dengan menyalurkan peruntukan besar bagi menaik taraf velodrom berkenaan, khususnya menjelang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018.

“Velodrom Rakyat Ipoh yang dibina pada 1989 terletak di atas tanah milik kerajaan negeri dan ketika SUKMA 2018, Kerajaan Persekutuan melalui KBS telah memperuntukkan dana berjumlah RM12.7 juta bagi tujuan penaiktarafan fasiliti tersebut,” menurut kenyataan itu.

KBS turut mengingatkan bahawa pembangunan sukan berada di bawah Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan, justeru tanggungjawab memelihara kemudahan sukan tidak seharusnya bersifat sehala atau bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, kementerian berharap Kerajaan Negeri Perak dan PKBM tampil lebih proaktif dalam usaha menyenggara dan memastikan velodrom berkenaan kekal selamat serta boleh dimanfaatkan secara berterusan.

“KBS menyeru semua pihak berkepentingan agar bersama-sama memainkan peranan masing-masing demi memastikan Velodrom Rakyat terus berfungsi sebagai kemudahan latihan dan pembangunan sukan, khususnya untuk atlet serta masyarakat di Perak,” kata kenyataan itu lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN