MANCHESTER: Krisis Manchester United semakin meruncing apabila mereka tersingkir awal daripada saingan Piala FA selepas tewas 1-2 kepada Brighton & Hove Albion dalam perlawanan pusingan ketiga di Old Trafford, awal pagi tadi.
Tanpa pengurus tetap selepas pemecatan mengejut Ruben Amorim, United gagal bangkit walaupun beraksi di laman sendiri, sekali gus menambah tekanan terhadap pengendali sementara, Darren Fletcher.
Brighton terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Brajan Gruda pada babak pertama sebelum bekas penyerang United, Danny Welbeck, menghukum bekas kelabnya dengan gol kedua selepas rehat.
United hanya mampu merapatkan jurang menerusi tandukan Benjamin Sesko pada minit ke-85 hasil sepakan penjuru Bruno Fernandes, namun kebangkitan lewat itu tidak cukup untuk mengubah nasib tuan rumah.
Lebih perit, perlawanan berakhir dengan pemain muda United, Shea Lacey, dilayangkan kad kuning kedua pada penghujung aksi, sekali gus mencerminkan kekecewaan mendalam kem Setan Merah.
Sorakan sinis dan laungan protes penyokong terhadap pemilik bersama, Jim Ratcliffe serta keluarga Glazer, mengiringi wisel penamat, melambangkan kemarahan penyokong terhadap prestasi tidak menentu pasukan musim ini.
Fletcher sekali lagi gagal menemui ramuan tepat untuk menghentikan kemerosotan prestasi, dengan United kini tanpa kemenangan dalam empat perlawanan terakhir dan hanya satu kemenangan daripada tujuh aksi terkini dalam semua kejohanan.
Nama Ole Gunnar Solskjaer dan Michael Carrick terus dikaitkan sebagai calon pengurus sementara sehingga akhir musim, namun suasana bergolak di Old Trafford dilihat sebagai cabaran besar buat mana-mana individu.
Kekalahan ini menyaksikan United tersingkir daripada kedua-dua kejohanan domestik di peringkat awal, satu pencapaian negatif yang kali terakhir berlaku pada musim 1981-82.
Bagi Brighton pula, kemenangan ini bukan sahaja membalas dendam kekalahan separuh akhir Piala FA 2023, malah meneruskan rekod cemerlang mereka di Old Trafford dengan kemenangan keempat dalam lima lawatan terakhir.
United kini berdepan jadual mencabar apabila bakal menentang Manchester City hujung minggu depan sebelum bertandang ke Emirates untuk berdepan Arsenal pada 25 Januari, dalam usaha mengelakkan musim yang kian menuju ke arah kegagalan total.-AGENSI










