PULAU BANDING, PERAK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) terus komited melahirkan graduan perakaunan yang holistik, bukan sahaja mahir dari sudut teknikal, malah berkeupayaan berfikir sebagai penasihat perniagaan yang beretika serta peka terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar.
Komitmen tersebut diterjemahkan menerusi penganjuran program ‘Accountants Back to Nature @ UMK-TRaCe’, satu inisiatif pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar yang melibatkan 59 pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (SAA) Tahun Tiga, yang dirancang dan dianjurkan sepenuhnya oleh pelajar dengan bimbingan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan UMK.
Program berimpak tinggi ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK serta dianjurkan bersama Pulau Banding Foundation, selaras usaha memperkukuh jaringan strategik antara universiti, rakan industri dan komuniti setempat dalam pembangunan pendidikan serta kelestarian.
Program selama tiga hari dua malam itu diketuai oleh Pengarah Program, Najmuddin Mohd Johari, dibantu Penolong Pengarah Program, Nur Aqilah Omar, bersama barisan jawatankuasa pelajar sekali gus mencerminkan keupayaan pelajar UMK mengurus dan melaksanakan program berskala besar secara profesional.
“Inisiatif ini memberi pendedahan sebenar kepada pelajar mengenai peranan akauntan dalam menyokong kelestarian operasi, tadbir urus dan penciptaan nilai jangka panjang.
“Melalui pendedahan secara langsung di lapangan, kami belajar bahawa akauntan bukan sekadar mengurus angka, tetapi turut memainkan peranan penting dalam menyokong kelestarian organisasi, komuniti dan alam sekitar,” katanya.
Najmuddin berkata, antara pengisian utama program ialah penglibatan komuniti di Kampung Klewang, melibatkan aktiviti sukan dan sukaneka bersama komuniti Orang Asli dan sumbangan barangan keperluan asas.
Beliau berkata, turut dilaksanakan ialah pelaksanaan Program Klinik Kebersihan Mulut (Oral Hygiene CSR) bagi meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
“Program ini turut disertai staf Perbadanan Taman Negeri Perak, sekali gus memperkukuh kerjasama antara universiti, agensi dan komuniti setempat.
“Pelajar juga didedahkan kepada alam semula jadi melalui aktiviti pengenalan biodiversiti hutan dan eko-sukan seperti bamboo rafting, selari dengan tema program yang menekankan keseimbangan antara profesion, masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Pendedahan di UMK-TRaCe membolehkan pelajar memahami realiti operasi sebuah pusat penyelidikan dan pembelajaran, sekali gus menyedari kepentingan peranan akauntan dalam memastikan kelestarian operasi serta penciptaan nilai jangka panjang sesebuah organisasi.
Aspek tanggungjawab sosial turut menjadi fokus utama program menerusi penglibatan komuniti di Kampung Klewang, termasuk aktiviti sukan dan sukaneka bersama komuniti Orang Asal serta sumbangan barangan keperluan asas kepada penduduk setempat.
Kemuncak penglibatan komuniti ialah pelaksanaan Program Klinik Kebersihan Mulut (CSR), yang menyaksikan para pelajar mengagihkan berus gigi dan ubat gigi kepada kanak-kanak serta remaja, selain memberi pendedahan mengenai amalan kebersihan mulut yang betul bagi meningkatkan tahap kesedaran kesihatan.
Program ini turut diserikan dengan sesi perkongsian budaya bersama komuniti Orang Asli, sekali gus memberi ruang kepada pelajar memahami nilai kehidupan masyarakat setempat dan kepentingan sensitiviti sosial dalam konteks profesional masa hadapan.
Program CSR ini juga melibatkan penyertaan staf Perbadanan Taman Negeri Perak.

Selain aktiviti komuniti, pelajar turut didedahkan kepada alam semula jadi menerusi pengenalan biodiversiti hutan pada waktu malam serta aktiviti eko-sukan seperti bamboo rafting, yang memberi pengalaman pembelajaran bersepadu selari dengan tema hubungan antara profesion, alam sekitar dan masyarakat.
Secara keseluruhan, katanya, program itu mencerminkan komitmen UMK dalam membentuk akauntan masa hadapan yang bukan sahaja kompeten secara teknikal, malah peka terhadap tanggungjawab sosial, alam sekitar dan pembangunan mampan negara.-UTUSAN









