KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menzahirkan kekecewaan baginda terhadap pihak yang menyokong pelaku rasuah.
Titah baginda, sikap sedemikian bukan sahaja mencerminkan kegagalan memahami bahaya rasuah yang meruntuhkan integriti institusi dan asas moral malah menuntut penilaian yang lebih mendalam terhadap akidah, prinsip hidup dan nilai pegangan diri.
“Rasuah merupakan musuh utama kepada keadilan, amanah dan masa depan negara. Beta amat terperanjat dan kecewa apabila masih wujud pihak yang terus memberikan sokongan kepada individu yang telah disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah yang amat besar.
“Seolah-olah perbuatan tersebut boleh diterima dan dimaafkan. Sehubungan itu, beta menyeru kepada mereka yang masih menyokong penjenayah seperti ini segera bermuhasabah diri serta menilai semula pendirian dan kepercayaan masing-masing.
“Ini kerana sebarang bentuk toleransi atau kompromi terhadap rasuah adalah bertentangan dengan prinsip kebenaran, keadilan serta amanah dan sama sekali tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Hari Keputeraan Ke-78 baginda hari ini di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.
Sementara itu, Tuanku Muhriz juga bertitah agar usaha menangani kos sara hidup perlu terus diperkukuh supaya tiada rakyat tercicir, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Pencapaian mengurangkan kemiskinan tegar wajar diperkasakan melalui bantuan bersasar, kawalan harga, jaminan makanan serta peningkatan peluang pendapatan secara tersusun” titah baginda.
Baginda juga bertitah kerajaan hendaklah mempergiatkan penyediaan kemudahan kesihatan serta mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.
“Beta menyambut baik cadangan naik taraf dan peluasan Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban bagi meningkatkan kapasiti dan mutu perkhidmatan.
“Beta juga berharap pembinaan Hospital Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai dapat dipertimbangkan dengan teliti kerana ia berpotensi memperkukuh perkhidmatan kesihatan negeri,” titah baginda.
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin ketika sembah ucapan tahniah dan taat setia berkata, Negeri Sembilan dijangka mampu meningkat kemasukan pelaburan bernilai RM8 bilion pada tahun ini.
Katanya, ia sekali gus mencerminkan pertumbuhan berterusan dan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negeri untuk rakyat.
“Sungguh demikian, menuju Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Negeri Sembilan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan lagi daya saing ekonomi negeri.
“Matlamat kita adalah untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri ini secara mampan dan inklusif, dengan memberi tumpuan kepada beberapa sektor utama yang berpotensi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri. – UTUSAN







